HomeUtamaAnwar Ibrahim dilantik Perdana Menteri ke-10

Anwar Ibrahim dilantik Perdana Menteri ke-10

Read Time:2 Minute, 0 Second

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli Parlimen Tambun Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, pelantikan itu selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Setelah memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan untuk melantik Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim (Ahli Parlimen Tambun) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Proses seterusnya ialah Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan berlangsung pada jam 5 petang hari ini di Istana Negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala dan menyeru rakyat agar terus beristiqomah serta bertenang dan bersama mendoakan agar negara sentiasa berada diberkati, dirahmati dan di bawah lindungan Allah Subhanahu Wata’ala, dijauhi dari sebarang bencana dan musibah.

Katanya, Seri Paduka Baginda juga mengingatkan kepada semua pihak bahawa yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua.

“Justeru, bagaikan biduk lalu, kiambang bertaut, hulurkan tangan antara satu dengan yang lain bagi merapatkan semula saf antara semua ahli-ahli Dewan Rakyat demi masa depan negara tercinta,” katanya.

Terdahulu, pagi tadi Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, hari ini.

Pada sesi Perbincangan Khas yang berlangsung bermula pada jam 11 pagi itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan mewasalkan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu proses pelantikan Perdana Menteri baharu susulan daripada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 lepas.

Perbincangan Khas itu adalah juga bertujuan bagi Seri Paduka Baginda mendapatkan pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu untuk membolehkan Baginda membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.

Proses yang tersebut di atas adalah bagi membolehkan Seri Paduka Baginda membuat keputusan melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2) (a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Draf Kertas Kabinet Mengenai Pengasingan Kuasa AG Dijangka Siap Pertengahan Tahun...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular