Ketua PBK, 4 lagi ditahan berhubung protes ‘Say no to PAS’ di Kuching 

Read Time:1 Minute, 10 Second

CYBERJAYA : Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee Shan dan empat lagi pemimpin parti telah ditahan berhubung protes terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di Kuching, Sarawak semalam.

Menurut laporan China Press, Voon dan empat pemimpin PBK mengadakan bantahan untuk menentang keputusan awal GPS untuk membentuk kerajaan dengan PN, yang mana PAS merupakan komponen utama.

Kelima-lima mereka dibawa untuk soal siasat di Balai Polis Simpang Tiga di Kuching sekitar jam 11 malam tadi, sebelum ditahan.

Polis turut memohon perintah reman terhadap mereka.

Satu kenderaan ditemui mengelilingi Kuching petang semalam sambil berkata “Say no to PAS”, di tengah-tengah laporan bahawa GPS tetap dengan keputusannya untuk menyokong PN dalam membentuk kerajaan.

Konvoi melibatkan lima kenderaan itu dilihat di beberapa kawasan di bandar Kuching, dengan poster menggesa rakyat Sarawak menentang dan membantah keputusan GPS untuk menyokong PN.

“Kami mahu (pengerusi GPS) Abang Johari Openg menarik balik sokongan (GPS) (untuk Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri),” seperti yang tertulis pada salah satu poster digantung pada kenderaan itu.

Konvoi itu telah memandu di sekitar Jalan Carpenter dan Pasar Terbuka Kuching, antara beberapa kawasan lain.

Sementara itu, Borneo Post yang memetik Pesuruhjaya Polis Sarawak Azman Ahmad Sapri sebagai berkata, tiga laporan polis telah dibuat terhadap lima individu berhubung protes berkenaan.

Katanya, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.