HomeUtamaAnwar puji Hajiji berjaya kekalkan kestabilan dan pembangunan Sabah

Anwar puji Hajiji berjaya kekalkan kestabilan dan pembangunan Sabah

Read Time:2 Minute, 7 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

PENAMPANG : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang disifatkan berjaya mengekalkan kestabilan politik serta memacu pembangunan negeri sehingga mencatat pertumbuhan yang membanggakan.

Beliau berkata, pendekatan sederhana dan fokus kerajaan negeri terhadap pembangunan, prasarana serta kesejahteraan rakyat telah membantu menjadikan Sabah antara negeri yang terus berkembang pesat dan menarik perhatian pelabur serta pelancong.

“Saya datang ke Sabah dan ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Hajiji dan kepimpinan di Sabah.

“Kerana dasarnya sederhana, fokus kepada pembangunan, menyediakan prasarana yang baik dan yang penting ialah keamanan serta kesejahteraan negeri Sabah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan, di sini.

Menurut Anwar, kejayaan Sabah dapat dilihat menerusi peningkatan ketara sektor pelancongan yang kini menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara.

Katanya, Sabah kini muncul sebagai salah satu destinasi pelancongan utama Malaysia dengan jumlah kehadiran pelancong yang terus meningkat sehingga melepasi jangkaan asal kerajaan.

“Menyemarakkan negeri Sabah dari sudut peningkatan pelancongan itu dan tarikan pelancong di negara kita adalah antara yang tertinggi.

“Dahulu mungkin hanya Kota Kinabalu yang dikenali, tetapi sekarang seluruh Sabah menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan pesat itu turut menyebabkan kerajaan Persekutuan perlu mempercepatkan pelaksanaan projek-projek infrastruktur termasuk menaik taraf lapangan terbang dan kemudahan asas lain bagi menampung peningkatan permintaan.

Menurutnya, unjuran pembangunan Sabah ketika ini telah melepasi jangkaan biasa sehingga memerlukan perancangan baharu bagi memastikan kemudahan awam dapat memenuhi keperluan semasa.

“Kadang-kadang unjuran biasa tidak menuntut kita melebarkan prasarana dengan begitu cepat.

“Tetapi pertumbuhan Sabah telah melepasi unjuran biasa dan mencatat pembangunan yang membanggakan,” katanya.

Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi memastikan agenda pembangunan Sabah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata, hubungan baik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri penting bagi memastikan pelbagai isu berkaitan pembangunan, kemiskinan, infrastruktur dan kesejahteraan rakyat dapat ditangani secara bersama.

Pada masa sama, beliau menyifatkan Hajiji sebagai seorang pemimpin yang sentiasa memperjuangkan kepentingan Sabah dalam setiap pertemuan dengan kerajaan Persekutuan.

“Dia tidak lantang suaranya, tetapi dalam setiap pertemuan dia menyampaikan perkara-perkara yang penting untuk Sabah dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.

“Saya memahami harapan rakyat Sabah dan kerajaan negeri, dan sebab itu kita sentiasa mencari jalan terbaik untuk memenuhi keperluan negeri ini,” katanya.

Anwar berkata, komitmen kerajaan Persekutuan adalah memastikan tiada negeri yang tercicir daripada arus pembangunan negara, termasuk Sabah yang memainkan peranan penting dalam kemajuan Malaysia. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

PM Anwar umum bayaran interim khas Sabah dinaikkan kepada RM1.5 bilion

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular