HomeUtamaPM Anwar umum bayaran interim khas Sabah dinaikkan kepada RM1.5 bilion

PM Anwar umum bayaran interim khas Sabah dinaikkan kepada RM1.5 bilion

Read Time:1 Minute, 56 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

PENAMPANG : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan bayaran interim khas kepada Sabah dinaikkan daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sementara menunggu pemuktamadan pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengumuman itu dibuat ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah, di Dewan Hongkod Koisaan di sini pada Sabtu.

Anwar berkata, kerajaan Persekutuan tidak pernah menolak tuntutan hak 40 peratus Sabah dan komitmen untuk melaksanakan janji itu kekal menjadi dasar Kerajaan MADANI.

“Jangan orang pertikai keputusan kita untuk melaksanakan janji. Sama ada bulan Jun atau Disember itu soal yang harus diputuskan oleh jawatankuasa berkaitan dan rundingan antara Persekutuan dan negeri.

“Tapi untuk sekarang, interimnya dahulu RM600 juta. Jadi untuk hari ini saya umumkan interim ini meningkat kepada RM1.5 bilion,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan kini sedang memperincikan mekanisme pelaksanaan pembayaran berkenaan melalui rundingan melibatkan Kementerian Kewangan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Kerajaan Negeri Sabah.

Menurutnya, perkara itu memerlukan penelitian menyeluruh kerana sebarang keputusan berkaitan hak negeri dan perjanjian Persekutuan akan memberi implikasi kepada negeri-negeri lain termasuk Sarawak.

“Dasarnya jelas. Hari pertama lagi Kerajaan MADANI telah menetapkan bahawa pelaksanaan tuntutan ini mesti dilakukan.

“Sekarang cabarannya adalah bagaimana kaedah pelaksanaannya supaya ia dapat diselesaikan secara teliti dan adil,” katanya.

Pada masa sama, Anwar menegaskan dakwaan bahawa Sabah dianaktirikan atau dipinggirkan oleh kerajaan Persekutuan adalah tidak tepat kerana pelbagai bentuk bantuan dan peruntukan pembangunan terus disalurkan ke negeri itu.

Beliau berkata, hasil yang dikutip daripada Sabah dianggarkan sekitar RM10 bilion, namun jumlah perbelanjaan dan pembangunan yang disalurkan kerajaan Persekutuan ke negeri itu mencecah kira-kira RM17 bilion.

“Ini tidak bermakna kita menafikan hak 40 peratus. Hak itu tetap kita akui kerana ia merupakan janji yang dimeterai pada tahun 1963.

“Tetapi janganlah timbul dakwaan kononnya Sabah dianiaya, dipinggirkan atau disengsarakan kerana kenyataan itu tidak berasaskan fakta,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa rundingan mengenai pelaksanaan tuntutan berkenaan tidak akan dilengah-lengahkan dan kerajaan mahu penyelesaian dicapai dalam tempoh yang munasabah.

Menurutnya, keputusan interim menaikkan bayaran kepada RM1.5 bilion membuktikan kesungguhan kerajaan Persekutuan dalam menangani isu berkenaan sementara formula muktamad dimuktamadkan melalui proses rundingan rasmi.

Anwar berkata, kerajaan juga terus berdepan cabaran kewangan susulan ketidaktentuan geopolitik global dan peningkatan kos subsidi bahan api, namun kepentingan rakyat serta pembangunan Sabah tetap diberikan perhatian utama. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Anwar puji Hajiji berjaya kekalkan kestabilan dan pembangunan Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular