HomeUtamaPeningkatan pegangan ekuiti dalam PETRONAS tambah kutipan pendapatan kepada Kerajaan Sabah

Peningkatan pegangan ekuiti dalam PETRONAS tambah kutipan pendapatan kepada Kerajaan Sabah

Read Time:1 Minute, 49 Second

KOTA KINABALU : Peningkatan pegangan ekuiti kepada 10 peratus dalam syarikat Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) LNG9 Sdn Bhd telah menambahkan kutipan pendapatan sebanyak RM202 juta kepada Kerajaan Sabah.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dengan pemindahan aset huluan gas Petronas dan kontrak pembekalan gas melalui Commercial Colaboration Agreement (CCA) telah menjadikan Agensi Kerajaan Negeri sebagai pembekal dan pengangkut gas asli domestik terbesar di Malaysia.

Katanya, dengan pembekalan itu ianya akan dapat menyediakan 250 juta kaki padu standard sehari gas asli kepada Penjana-Penjana Tenaga Bebas (IPP) dan Non-Power Sector.

“Petronas juga telah bersetuju untuk meningkatkan jumlah nilai kontrak kepada kontraktor tempatan yang layak sehingga melebihi 10 peratus atau dianggarkan RM300 juta setiap tahun bagi tempoh 2020-2022.

“Dan seterusnya akan meningkat dua kali ganda pada tahun 2023 dan tiga kali ganda pada tahun 2024. Dalam usaha melibatkan anak jati Sabah dalam bidang minyak dan gas, satu rangka kerja sedang disediakan untuk meningkatkan penglibatan pekerja tempatan yang dijangka siap pada akhir tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sabah 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, selain daripada itu, bagi memastikan Kerajaan terus menjana pendapatan negeri, penglibatan dalam aset minyak dan gas yang berpangkalan di Negeri Sabah sedang dalam proses perundingan akhir.

Katanya, SMJ Sdn. Bhd. sebuah anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri yang ditubuhkan selepas CCA dimeterai pada akhir tahun lepas, kini berperanan sepenuhnya membantu Kerajaan Negeri dalam siri perundingan utama dengan Petronas untuk sebilangan aset dan projek dari aktiviti huluan, Liquefied Natural Gas (LNG), dan Petrokimia.

“Pengumuman yang lebih terperinci akan dibuat dalam masa terdekat sejurus selepas perjanjian pemerolehan dapat diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, peranan Badan-Badan Berkanun dan Agensi Awam Negeri amat signifikan kerana prestasi yang dicapai akan memberi impak terhadap kemajuan sosio ekonomi dan sumbangan hasil kepada Kerajaan Negeri.

Justeru itu katanya, Kerajaan melalui Kementerian Kewangan Negeri akan memastikan pembayaran dividen dan bayaran balik faedah dan pinjaman adalah mengikut jadual dan meningkat dari semasa ke semasa.

“Setakat bulan November tahun ini, Kerajaan Negeri telah menerima sejumlah RM92.83 juta dividen dan sumbangan serta dijangka akan meningkat lagi menjelang akhir tahun ini,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Capital A Hantar Pelan Pemulihan kepada Bursa Malaysia untuk Keluar dari...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular