KDM sokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU : Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menzahirkan sokongan penuh kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Presidennya Datuk Peter Anthony berkata, pihaknya juga akan turut sama menjayakan Kerajaan Perpaduan yang diilhamkan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Saya bersama kepimpinan Parti KDM disertai beberapa orang Ahli Parlimen dari Sabah, telah berjumpa dan sebulat suara menzahirkan  sokongan penuh kepada kepimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk sama-sama menjayakan Kerajaan Perpaduan.

“Saya percaya bahawa pelantikan Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 akan dapat menyelesaikan kemelut politik yang berlaku dan mengembalikan kestabilan politik Negara kita demi kemakmuran dan seterusnya memacu pembangunan negara kita,” katanya.

Terdahulu, beliau melakukan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim di Perdana Putra di sini hari ini.

Turut bersama beliau Ahli Parlimen Kota Marudu Datuk Wetrom Bahanda; Ahli Parlimen Kudat Datuk Verdon Bahanda dan Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin.

Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada semua penyokong dan pendokong parti KDM.

“Sesungguhnya saya amat terhutang budi yang tidak terhingga kepada saudara sekalian.  Oleh itu, saya menyeru kepada semua, marilah kita bersama- sama berganding bahu untuk membina negeri kita, Sabah dan negara kita, Malaysia,” katanya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *