HomeUtamaTambahan peruntukan ADUN, bantu lebih ramai rakyat memerlukan - Amisah

Tambahan peruntukan ADUN, bantu lebih ramai rakyat memerlukan – Amisah

Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin berkata peruntukan ADUN kerajaan bagi program pembangunan kawasan yang ditambah menjadi RM3 juta adalah satu berita baik dan bakal memberi lebih manfaat kepada rakyat.

“Peruntukan ADUN itu ditambah lima puluh peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Ini adalah satu gambaran baik dan positif tentang betapa kukuhnya kewangan dan ekonomi kita, perlahan-lahan mulai pulih dari masalah dan dugaan yang melanda.

“Pastinya jumlah ini akan dapat dimanfaatkan kepada lebih ramai rakyat di setiap kawasan ADUN-ADUN kita, syukur alhamdulillah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini pada Sabtu.

Menurut Amisah lagi, Kerajaan Negeri Sabah dibawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor juga adalah sebuah kerajaan yang mempunyai keupayaan dan jalinan kerjasama erat dan berfokus.

Katanya, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah(GRS) sendiri mempunyai keunikan dan asas yang kukuh dalam membawa perubahan serta membangunkan negeri dan rakyat Sabah secara amnya.

“Kita tengok dari segi perkhidmatan awam negeri, kerajaan akan memberikan bantuan khas kewangan setengah bulan gaji dengan kadar minima sebanyak RM1,000.

“Manfaat ini akan mulai dibayar pada Januari 2023 dan pastinya ini adalah sebuah bonus atau rezeki kepada penjawat awam kita yang sudah banyak berbakti dan berkhidmat dalam melancarkan urusan seharian di semua agensi dan perkhidmatan awam negeri Sabah.

“Saya yakin, ini adalah sebuah pertimbangan yang amat baik dan keprihatinan Kerajaan Negeri GRS kepada semua penjawat awam dalam negeri,” katanya lagi.

Tambah Amisah lagi, peruntukan sebanyak RM120 juta bagi membina rumah mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) pada tahun hadapan juga adalah bukti keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap isu perumahan rakyat di negeri Sabah.

“Peruntukan ini disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Pejabat-Pejabat Daerah dan Pejabat-Pejabat Daerah Kecil yang bertujuan untuk memberi tumpuan kepada program membasmi kemiskinan.

“Selain itu, ini juga adalah antara usaha untuk meningkatkan pendapatan isi rumah golongan sasar,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Ukraine Mohon Malaysia Untuk Memperluaskan Bantuan Kemanusiaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular