KENINGAU: Kerajaan Negeri Sabah melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) sentiasa memandang serius isu perlindungan dan pemuliharaan alam semulajadi.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan berkata, ini kerana fungsi perkhidmatan ekosistem adalah sangat penting dan berkait rapat dengan pembangunan sosio ekonomi setempat.
Katanya, pemuliharaan alam sekitar akan dapat membantu mengurangkan kesan bencana terutamanya banjir dan tanah runtuh.
“Sebagai makluman, Kementerian Pertanian dan Perikanan melalui Jabatan dan agensi dibawahnya, iaitu Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Pengairan dan Saliran terlibat sama dalam penyediaan Pelan Pengurusan Rizab Biosfera Banjaran Crocker (RBBC) bagi tahun 2023-2029.
“Saya menyokong bahawa pembangunan mampan perlu di integrasikan dan menjadi amalan dalam peningkatan sosio-ekonomi masyarakat.
“Inovasi dalam industri pelancongan supaya aktiviti pertanian dan perikanan menjadi produk pelancongan adalah paradigm-shift yang amat saya galakan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Kemubncak Jelajah Taklimat dan Pameran Rizab Biosfera Banjaran Crocker di sini hari semalam.
Jefrey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan berkata, pihaknya menyeru kepada Pentabdiran Daerah supaya menyelaras penyediaan Pelan Pembangunan Pelancongan Mampan Kawasan Bingkor disediakan dan dilaksanakan dalam tempoh tahun 2023-2029.
“Pastikan Pelan ini menekankan pemuliharaan alam semulajadi dan nilai-nilai kebudayaan etnik tempatan, penggalakan produk pelancongan berasaskan pertanian dan perikanan (agro-tourism), pembangunan prasarana dan infrastruktur yang bersesuaian.
“Ini termasuklah seperti rumah-kebudayaan dan pusat pelancongan, peluang-peluang pembangunan kerjaya dan pekerjaan, dan seterusnya menitikberatkan produk Pelancongan Berasaskan Komuniti atau “Community Based Tourism”,” katanya.
Dalam pada itu, Jeffrey berharap Taklimat dan Pameran seumpama ini akan diteruskan secara berkala, supaya pemeliharaan dan pemuliharaan ini dapat ditingkatkan.
Katanya, tumpuan hendaklah diberikan kepada komuniti-komuniti dan generasi muda supaya RBBC dapat dipulihara dan dimenafaatkan secara mampan dan berkekalan disamping membangun dan meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat melalui industri pelancongan berasaskan komuniti. – SABAH MEDIA