Kanak-kanak wajar diberi pendedahan awal kepada asas bola sepak

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Pendedahan asas kanak-kanak bawah umur 10 tahun dalam sukan bola sepak penting untuk membolehkan mereka mengembangkan bakat yang mereka miliki dalam sukan berkenaan.

Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim, berkata di peringkat umur tersebut amat sesuai untuk memberi pendedahan pendedahan awal kepada mereka dalam sukan itu untuk dikembangkan.

“Menerusi pendedahan awal itu sudah pasti ianya berupaya mengenal pasti bakat mereka dan seterusnya dengan bimbingan jurulatih bertauliah sudah tentu mereka boleh terus mengembangkan bakat yang dimiliki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan sepak mula bagi pelancaran perlawanan persahabatan antara TABS Bandaraya dengan Miruru FT dari Ranau membabitkan lapan pasukan terdiri daripada pemain bawah umur tujuh dan enam tahun di padang SUKMA di sini, semalam.

Lokman yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan BolaSepak Sabah (SAFA) mengucapkan terima kasih atas insiatif unit kejurulatihan TABS Bandaraya dan jurulatih Miruru FT untuk mengadakan perlawanan persahabatan ala karnival itu.

“Ini merupakan satu usaha yang baik untuk membolehkan kanak-kanak bawah umur tujuh dan enam tahun mendapat pendedahan di samping menimba pengalaman melalui perlawanan sedemikian,” tambahnya.

Menurut beliau, pihaknya juga mengalu-alukan kehadiran Miruru FT yang datang dari jauh dengan empat pasukan semata-mata untuk menjayakan perlawanan tersebut.

Katanya, ini satu permulaan yang baik bagi TABS Bandaraya sendiri yang boleh meluaskan lagi penganjuran yang serupa kepada pasukan-pasukan lain dari luar Kota Kinabalu.

“Kita merancang untuk mengundang lebih banyak pasukan dari luar untuk mengambil bahagian dalam kejohanan bawah umur 10 yang akan dianjurkan pada masa akan datang,” ujarnya.

Keputusan perlawanan bagi bawah umur tujuh tahun dimenangi TABS A, kedua Miruru FT, ketiga TABS B dan keempat TABS C manakala bawah umur enam tahun dimenangi Miruru FT A, kedua TABS A, ketiga Miruru FT B dan keempat TABS B.

Turut hadir ialah Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom, naib pengerusi TABS Bandaraya, S.A Ramley, ketua jurulatih, Matasan Ahmad dan penolongnya, Roslan Wasli.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *