HomeSukanJonathan Wong sasar kejohanan Para Dunia Tashkent, buru tiket LA28

Jonathan Wong sasar kejohanan Para Dunia Tashkent, buru tiket LA28

Read Time:2 Minute, 31 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Atlet para negara, Jonathan Wong Kar Gee,35, menyasarkan Kejohanan Para Dunia di Tashkent, Uzbekistan tahun depan sebagai pentas penting dalam usaha memburu tiket ke Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Wong berkata, penyertaannya di kejohanan berkenaan menjadi antara sasaran utama dalam perancangannya selepas mencipta kejayaan membanggakan dengan meraih pingat emas dalam acara lompat jauh para pada temasya Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 baru-baru ini.

Menurutnya, kejohanan dunia itu penting bagi membolehkannya meningkatkan peluang untuk mengesahkan kelayakan ke LA28.

“Paralimpik pada 2028. Jadi, perlu menang dalam World Para Championship dahulu, kemudian peluang untuk mengesahkan tempat ke Paralimpik akan menjadi lebih kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini pada Isnin.

Ketibaan Wong bersama rakan atlet, Ivan Jovic Suan itu disambut Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Mansur Asun; Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah (MSN Sabah), Mohd Asneh Mohd Noor; Timbalan Pengarah (Sektor Para), Alissa Alha; anggota keluarga Wong termasuk ibunya, Datuk Susan Wong Siew Guen serta pemenang pingat perak Sukan Para Asia, Abdul Halim Muhammad.

Wong berkata, dia masih mempunyai ruang untuk memperbaiki prestasi meskipun berjaya menewaskan saingan dalam pertandingan terakhirnya untuk membawa pulang pingat emas.

Katanya, persaingan yang dihadapi kali ini agak sengit dengan peserta lain turut mempamerkan prestasi yang baik.

Jonathan

“Saya rasa saya buat dengan baik dan nasib baik dapat emas. Saya rasa masih banyak lagi yang boleh saya perbaiki,” katanya.

Dalam pada itu, Wong mengakui kejayaan meraih emas turut memberi keyakinan tambahan menjelang sasaran seterusnya di pentas dunia.

Menurutnya, dia tidak meletakkan tekanan terlalu tinggi sebelum pertandingan sebelum ini, sebaliknya hanya mahu memberikan persembahan terbaik.

“Ada sedikit tekanan juga, tetapi saya menjangkakan hanya pergi ke sana, berseronok dan kalau dapat pingat pun sudah okay. Tetapi akhirnya dapat pingat emas, jadi saya sangat-sangat gembira,” katanya.

Kejayaan tersebut turut membawa makna tersendiri buat Wong apabila ia merupakan pingat emas pertamanya di pentas Asia selepas sebelum ini meraih perak.

“Saya sangat gembira kerana ini pingat emas pertama saya untuk Sukan Asia. Kali terakhir saya dapat perak, sekarang dapat emas. Jadi, saya sangat bangga dengan diri sendiri,” katanya.

Kini, Wong mahu menggunakan momentum kejayaan itu untuk terus memperbaiki prestasi bersama barisan jurulatihnya sebelum menghadapi cabaran lebih besar di Tashkent.

Katanya, bimbingan daripada beberapa jurulatih banyak membantunya untuk terus belajar dan meningkatkan kemampuan dalam acara lompat jauh para.

“Saya ada beberapa jurulatih, jadi saya banyak belajar daripada mereka,” katanya.

Untuk rekod, Wong pernah mewakili negara pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dan Paris 2024, dengan hampir meraih pingat gangsa pada edisi Paris apabila ketinggalan hanya 0.03 meter.

Keluarga Wong turut melahirkan rasa bangga terhadap pencapaiannya di Sukan Para Asia.

Ibunya, Susan berkata anaknya berlatih dengan sangat gigih untuk menghadapi temasya berkenaan dan layak meraih pingat emas hasil segala usaha yang dicurahkan.

“Dia bertekad untuk mengatasi semua cabaran walaupun mengalami kecederaan dan kami mengagumi ketabahannya.

“Sebagai ibu, saya sangat bangga dengannya dan kami akan terus menyokongnya,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Borneo Safari 2026 tarik 1,720 peserta dari 15 negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular