HomeUtamaGuna resit DuitNow palsu, lelaki dipenjara 10 bulan

Guna resit DuitNow palsu, lelaki dipenjara 10 bulan

Read Time:54 Second

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menggunakan resit pembayaran dalam talian palsu bagi pembelian satu set sistem audio kereta.

Majistret Dzul Elmy Yunus menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Sobrie, 32, selepas tertuduh menukar pengakuannya daripada tidak bersalah kepada bersalah.

Pihak pendakwaan sebelum ini telah memanggil seorang saksi untuk memberikan keterangan terhadap tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh menggunakan resit pembayaran DuitNow Transfer berjumlah RM1,100 yang dipercayainya palsu sebagai dokumen tulen di Inanam pada 19 Oktober 2024.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama. Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh membuat pembayaran bagi pembelian satu set sistem audio kereta daripada pengadu.

Tertuduh kemudian menunjukkan resit pembayaran DuitNow Transfer yang menyatakan transaksi berjaya dibuat ke akaun isteri pengadu.

Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati tiada wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun tersebut.

Susulan itu, laporan polis dibuat sehingga membawa kepada penahanan tertuduh.

Tertuduh tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Akaash Singh.

RELATED ARTICLES
Utama

Murid 11 tahun cedera parah dilanggar kereta di Manggatal

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular