HomeUtamaDUN Sabah : Sasaran 1.3 juta pelancong dicapai sehingga Oktober lalu

DUN Sabah : Sasaran 1.3 juta pelancong dicapai sehingga Oktober lalu

Read Time:1 Minute, 52 Second

KOTA KINABALU : Sabah berjaya mencapai sasaran ketibaan pelancong sebanyak 1.3 juta pelawat dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai berkata, sehingga Oktober lalu,  Sabah telah menerima seramai 1,356,056 pelawat dengan anggaran RM2.4 Bilion perbelanjaan pelancongan.

Katanya, ini merupakan satu peningkatan yang besar iaitu sebanyak 752.9 peratus berbanding tahun sebelum ini.

“Pecahan ini terbahagi kepada sektor pelancongan domestik yang sememangnya menjadi penyumbang yang terbanyak iaitu seramai 1,180,050 pelawat manakala pelancong antarabangsa direkodkan seramai 176,009 orang.

“Peningkatan yang ketara ditunjukkan bagi beberapa pasaran antarabangsa seperti negara Singapura, Brunei dan beberapa pasaran Eropah seperti United Kingdom, Jerman, Perancis dan Belanda yang telah mencapai 43 peratus sehingga 65 peratus daripada paras pra pandemik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini semalam.

Joniston berkata, trend peningkatan ketibaan pelancong domestik dan antarabangsa ke Sabah sejak pembukaan pintu sempadan pada April lalu adalah didorong oleh jaringan pengangkutan udara yang semakin positif dan memberangsangkan.

Katanya, pada ketika ini, Sabah telah menerima sejumlah 354 penerbangan domestik dengan kapasiti 57,991 tempat duduk setiap minggu daripada Kuala Lumpur, Johor Bahru, Penang, Kota Bahru, Labuan, Kuching, Miri, Sibu, Bintulu dan Mulu.

“Manakala bagi penerbangan antarabangsa, negeri Sabah telah dihubungkan dengan penerbangan terus daripada lima destinasi antarabangsa iaitu Singapura, Bandar Seri Begawan, Incheon, Manila dan juga Bangkok dengan jumlah keseluruhan sebanyak 47 penerbangan seminggu dan kapasiti sejumlah 8,558 tempat duduk.

“Sabah juga dijangkakan akan memperoleh perkhidmatan penerbangan antarabangsa tambahan daripada Taipei, Narita, Busan dan Hong Kong mulai Disember 2022. Ini akan menambah rangkaian penerbangan daripada 47 kepada 71 penerbangan seminggu mulai Januari tahun hadapan.

“Bagi sektor penerbangan domestic pula Sabah dijangka akan mempunyai tambahan perkhidmatan penerbangan baru daripada MY Airline yang dijangka akan memulakan penerbangan 2 kali sehari mulai 1 Disember ini,” katanya.

Dalam pada itu, Joniston berkata, pengembangan rangkaian udara akan terus menjadi agenda terpenting pada tahun hadapan dan pelbagai inisiatif dan insentif yang telah dirancang tahun ini akan diteruskan pada tahun hadapan.

Katanya, ianya adalah bagi menyokong dan menggalakkan syarikat penerbangan memulakan semula laluan udara yang terhenti, membuka laluan udara baharu mahupun mengadakan penerbangan sewa khas ke Sabah. – SABAH MEDIA/EAW   

RELATED ARTICLES
Utama

ESSCOM bakal lancarkan aplikasi ‘Friends Of Sabah’

Mahkamah Kota Kinabalu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular