Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
KUNDASANG : Kerajaan negeri amat komited dalam memastikan Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu akan terus berfungsi sesuai dengan matlamat dan dasar kerajaan selaras dengan keperluan UNESCO.
Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah (TTS) Peter Lintar berkata, usaha-usaha penyelidikan, pembangunan eko pelancongan, penguatkuasaan dan keterlibatan komuniti setempat akan terus diberi perhatian demi memastikan Tapak Warisan itu terus gah di mata dunia.
“Sejak tahun 2010, TTS telah mengamalkan dasar untuk melibatkan komuniti dalam pelbagai program konservasi dan juga eko pelancongan khususnya dalam program-program Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu.
“Hari Komuniti yang diadakan pada setiap tahun termasuk pada hari ini merupakan salah satu komitmen yang diberikan oleh TTS kepada komuniti untuk meneruskan budaya mereka agar ianya berkekalan dan diteruskan oleh generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap meramsikan Majlis Ulang Tahun Pengiystiharan Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu Kali Ke-22 di sini hari ini.
Peter berkata, melalui Amalan Pengurusan Terbaik, TTS telah memberi keutamaan kepada komuniti setempat untuk menggunakan kawasan Taman Kinabalu sebagai aktiviti eko pelancongan berasaskan komuniti.
Katanya, sebanyak 16 permit telah diberikan kepada 16 persatuan daripada kampung yang terpilih untuk mengadakan aktiviti eko pelancongan seperti mendaki gunung, junggle trekking, air terjun dan sungai bagi menambah sumber pendapatan mereka.
“Aktiviti ini memperlihatkan komitmen TTS dalam usaha bekerjasama dan meningkatkan kesedaran komuniti terhadap kepentingan perlindungan dan pemuliharaan khususnya Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu.
“Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu juga menyediakan peluang pekerjaan kepada komuniti persekitaraan seperti Malim Gunung dan Porter selain daripada sektor kerajaan dan swasta yang terdapat di Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu ini.
“Lebih kurang 1000 peluang pekerjaan terutama yang melibatkan komuniti setempat Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu yang mendapat manfaat daripada sektor pelancongan,” katanya.
Sementara itu, Peter berkata, TTS juga turut memastikan dasar kerajaan dalam memastikan pembangunan ekonomi komuniti dipertingkatkan melalui program-program yang berimpak tinggi.
Katanya, penglibatan komuniti dalam sektor pelancongan diberi keutamaan terutama yang berada berhampiran dengan Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu.
“Latihan dan kursus jurupandu pelancong juga dipertingkatkan demi untuk perkhidmatan yang lebih baik kepada pelancong,” katanya. – SABAH MEDIA/EAW