Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
KOTA KINABALU: Pertandingan Rekacipta (PEREKA) 2022 anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi platform kepada ahli penyelidik dan akademik bagi mempamerkan hasil penyelidikan dan inovasi masing-masing.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, sebanyak 196 inovasi dipertandingkan pada tahun ini dan jumlah tersebut menunjukkan peningkatan 55 peratus daripada penyertaan PEREKA UMS pada tahun 2021.
Katanya, peningkatan penyertaan itu memberi gambaran yang baik terhadap usaha UMS untuk membudayakan inovasi dalam kalangan kakitangannya khususnya golongan pensyarah.
“Penganjuran PEREKA 2022 selaras dengan peranan UMS dalam memimpin masyarakat untuk berinovasi sehingga dapat diiktiraf di peringkat global.
“Ia juga menyediakan jaringan perhubungan di antara pihak industri sama ada dari dalam atau luar negara, dan ia merupakan salah satu strategi UMS untuk meningkatkan kualiti dan kerelevanan penyelidikan,” katanya.
Tambah Kasim, PEREKA 2022 yang dianjurkan secara konsisten itu merupakan petunjuk bahawa pihak UMS amat menekankan budaya kecemerlangan penyelidikan dan inovasi sebagai salah satu bidang keberhasilan utama selaras dengan Pelan Transformasi UMS 2050 dan Pelan Strategik UMS 2023-2027 yang bakal dilantarkan awal tahun depan.
Majlis penutupan PEREKA 2022 telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Abdul Rahman berkata, penyelidikan yang dilaksanakan perlu mengambil kira faktor-faktor signifikan yang mampu menyelesaikan permasalahan masyarakat dan negara.
Katanya pujian perlu diberikan kepada UMS kerana terus menyerlahkan kekuatannya dalam bidang sains dan teknologi, tanpa melupakan bidang sains sosial dan kemanusiaan.
“Gabungan dan keseimbangan disiplin ilmu, antara pemodenan dengan tradisi, membolehkan proses kesinambungan dalam perubahan bangsa dapat menjadi penentu kepada pembinaan sebuah peradaban bangsa moden, dari perspektif yang diinginkan.
“Kini, universiti menjadi salah satu daripada komponen ekosistem masyarakat, memberi pengukuhan kepada masyarakat di persekitaran, negara dan dunia global.
“Seharusnya kewujudan universiti amat perlu dirasai kehadirannya dan kehilangan fungsinya, akan amat dirasai kerugiannya oleh masyarakat dan negara,” ujarnya.
Tambah beliau, selain memiliki para intelektual yang berupaya mendidik insan berkualiti tinggi, universiti juga harus mampu membina gagasan dan idea bermakna bagi memimpin negara menyelesaikan pelbagai permasalahan semasa.
“Selain menjalankan penyelidikan untuk meneroka ilmu, membina kepakaran dan menuntun kepimpinan intelektual, masih banyak ruang dalam penyelidikan yang boleh dikembangkan untuk dimanfaatkan oleh masyarakat. Para akademia perlu mengubah pemikiran daripada ‘ilmu untuk ilmu’ kepada ‘ilmu untuk masyarakat dan negara’.
“Hala tuju penyelidikan perlu selari dengan isu dan permasalahan semasa, yakni mampu menjadi penyelesai persoalan yang dihadapi oleh masyarakat dan negara amnya. Penyelidikan usahlah hanya tampak hebat atau terhenti di lembaran artikel ilmiah atau di makmal, sebaliknya mampu memberi manfaat sejagat,” katanya lagi.
Abdul Rahman turut menyeru agar para penyelidik dapat mengadakan penyelidikan yang menggabungkan pelbagai bidang, menjalinkan kerjasama dengan komuniti setempat dan pihak industri.
Pada pertandingan itu, inovasi makanan udang kara air tawar yang bertajuk ‘Cray-X’ hasil penyelidikan Prof. Dr. Rossita Shapawi (Ketua Projek), Ahmad Shahroom Mohd Shah, Saleem Mustafa, Abentin Estim, Nur Fatihah Abd Halid daripada Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) UMS telah memenangi Anugerah Terbaik Kluster Pertanian dan Perhutanan, selain turut menerima Anugerah Terbaik Keseluruhan PEREKA 2022.
Manakala sebanyak 79 projek inovasi lain turut menerima pengiktirafan emas di PEREKA 2022.
PEREKA 2022 juga turut menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian (MOA) Perlesenan Pengkomersialan dua produk UMS bersama Biosain Technologies Sdn. Bhd. dan DrillTech Engineering Sdn. Bhd. – SABAH MEDIA