Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
KOTA KINABALU: Tourism Malaysia melancarkan direktori tapak selam edisi yang kedua bertajuk ‘Sabah & Labuan 101 Dive Treasures – A Diver’s Ultimate Playground’.
Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusof berkata, penerbitan direktori itu adalah bertujuan untuk membekalkan maklumat terkini kepada semua peminat aktiviti selam skuba mengenai lokasi dan operator selam yang terdapat di Sabah serta Labuan.
“Beberapa destinasi menyelam yang baharu ditambah ke dalam direktori antaranya Pulau Selakan dan Pulau Timba-Timba di Semporna, Blue Ring Reef di Lahad Datu, Pulau Sepanggar, Kota Belud dan Vernon Banks di Labuan.
“Saya berharap dengan penambahan ini, penyelam akan menjadikan Sabah dan Labuan sebagai pilihan destinasi selam utama,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran direktori berkenaan di sini, semalam.
Penerbitan direktori tersebut adalah hasil kerjasama antara Taman-Taman Sabah dan Persatuan Penyelam Skuba Malaysia (MSDA).
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Noredah Othman; Ketua Penolong Pengarah Kanan (Penyelidikan dan Pendidikan), Dr. Nasrulhakim Maidin dan Pengarah Pelancongan Malaysia Sabah, Ednie Rahma Ab Rahim.