Tiga gua ditemukan di Labuan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 30 Second

BERNAMA

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

LABUAN: Tiga ruang gua yang ditutupi pasir ditemukan di hutan Pancur Hitam di sini, yang mungkin dapat menjelaskan lebih lanjut tentang mereka yang pernah mendiami kawasan itu dahulu kala.

Penemuan itu dibuat oleh sepasukan pendaki daripada MTB Park yang sedang mencari denai baharu pada Jun tahun lepas, namun merahsiakannya untuk mengelakkan pencerobohan yang boleh membahayakan gua itu yang belum diterokai dan berpotensi untuk dijadikan warisan negara.

Ketua kumpulan itu Jamil Kario berkata semasa mengkaji gua berkenaan, mereka menemukan kawasan berongga, air terjun dan sejenis buluh jarang dijumpai yang tumbuh berhampiran gua.

Beliau berkata memandangkan gua tersebut telah wujud sejak Perang Dunia II, askar Jepun yang terkorban berkemungkinan menggunakannya sebagai tempat persembunyian mereka.

“Selepas masuk dan mendaki melalui gua pertama, kami dapati ia berkeluasan kira-kira 80 kaki (24 meter) panjang dan 40 kaki (12 meter) tinggi.

“Ketiga-tiga gua itu dihuni beribu-ribu kelawar yang bergayut pada bumbung gua… sebaik anda masuk ke dalam gua tersebut, anda perlu meranduk air setinggi beberapa kaki air,” katanya kepada Bernama selepas melawat gua itu hari ini.

Sementara itu, Ketua Kampung Pohon Batu Haryadi Omar berharap Perbadanan Labuan akan mengadakan mesyuarat dengan Jawatankuasa Pemandu Geopark Kebangsaan mengenai kemungkinan mengiktiraf gua itu sebagai tapak geopark kebangsaan.

Haryadi juga sependapat dengan pasukan MTB Park agar kawasan itu dibangunkan sebagai destinasi sukan ekstrem dan pelancongan.

“Kita perlu berterima kasih kepada mereka yang menemukan gua tersebut dan mencetuskan idea untuk menjadikan hutan Pancur Hitam sebagai laluan mendaki yang menarik dan mencabar,” katanya.

Labuan diiktiraf sebagai geopark kebangsaan pada Dis 2021, meliputi kawasan seluas 402 kilometer persegi yang kaya dengan landskap batuan serta tapak biologi seperti hutan bakau (Kinabenuwa), hutan pantai (Tanjung Kubong), tempat perlindungan hidupan liar (Pulau Ular) dan taman laut (Pulau Rusukan Besar, Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Kuraman). – Bernama

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *