HomeIsu tempatanMayat wanita ditemui dengan kesan kelar di leher

Mayat wanita ditemui dengan kesan kelar di leher

Read Time:1 Minute, 21 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Oleh NORMIMIE DIUN

TAWAU: Mayat seorang wanita ditemui dengan kesan kelar di bahagian lehernya dipercayai telah dibunuh dalam satu kejadian di hadapan bangunan lama, Blok 4, Kampung Titingan, di sini pada Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, pada jam 7.26 malam tadi (15 Dis), pihaknya menerima satu panggilan kecemasan daripada orang awam melalui Mers 999 memaklumkan berlaku kes pembunuhan di Bangunan Buruk Kampung Ice Box Blok 5, Tawau.

“Sepasukan polis telah melakukan siasatan di lokasi kejadian dan mendapati mangsa seorang wanita berusia dalam pertengahan 30’an, dijumpai di tengah jalan yang tidak berturap dari jalan Utara menghala ke Kampung Blok 4, Kampung Titingan.

“Keadaan mangsa terbaring dengan satu kesan kelar di bahagian leher dipercayai kesan dikelar menggunakan objek tajam dan kesan calar di bahagian lutut sebelah kiri.

“Pihak Hospital Besar Tawau telah dihubungi untuk pemeriksaan dan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Champin, pada jam 7.45 malam, Dr. Shahirah Shaharuddin yang berada di lokasi kejadian telah mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

“Pasukan perubatan kemudiannya membawa seorang kanak-kanak perempuan dipercayai anak kepada mangsa yang berumur satu tahun ke hospital bagi pemeriksaan lanjut.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Besar Tawau bagi tujuan pemeriksaan.

“Motif kejadian masih dalam siasatan lanjut dan belum ada tangkapan dibuat setakat ini,” katanya.

Dalam pada itu, Champin turut berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan saksi-saksi yang melihat kejadian berlaku serta suspek yang terlibat.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes ASP Zam Zarina Asri.

“Kes dijalankan dibawah seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

35 kilogram sampah berjaya dikutip di Teluk Likas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular