Pemeteraian persefahaman Kerajaan Perpaduan beri harapan yang tinggi kepada Sabah- Hajiji

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 43 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

PUTRAJAYA : Pemeteraian perjanjian persefahaman kerjasama bagi membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat cukup istimewa untuk menyatupadukan rakyat Malaysia.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerjasama ini juga mampu memberi kestabilan politik yang baik kepada semua pihak sama ada di peringkat Persekutuan mahupun peringkat negeri Sabah.

“Bagi pihak Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kita amat menyokong kuat Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini adalah sesuatu yang cukup istimewa.

“Kita di Sabah amat memerlukan suasana seumpama ini kerana ianya boleh memberi suatu harapan yang begitu baik dan tinggi kepada Sabah terutama dalam aspek ekonomi dan juga pembangunan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama Kerajaan Perpaduan di sini sebentar tadi.

Hajiji berkata, Sabah merupakan sebuah negeri yang besar dan ini merupakan matlamat Kerajaan negeri untuk bersama Kerajaan Perpaduan.

“Saya yakin Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri akan menjadi satu Kerajaan yang kuat dan satu kerajaan yang diinginkan rakyat,” katanya.

Terdahulu, empat gabungan politik memeterai perjanjian dengan Pakatan Harapan (PH), petang tadi bagi mengukuhkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semua gabungan politik itu diwakili pemimpin tertinggi masing-masing iaitu Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan manakala PH, diwakili Anwar sebagai Pengerusinya.

Turut menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama berkenaan adalah Setiausaha Agong gabungan politik masing-masing iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mewakili PH; Datuk Seri Zambry Ab Kadir (BN); Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (GPS); Datuk Seri Marsidi Manjun (GRS) dan Datuk Loretto S Padua Jr (WARISAN).

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, yang juga Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof, mengesahkan parti politik yang menyokong pentadbiran Anwar akan memeterai perjanjian berkaitan kerjasama itu, hari ini.

Katanya, langkah itu mendahului usul percaya yang bakal dibentangkan di Parlimen pada Isnin ini. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *