KUALA PENYU: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dikhuatiri lemas semasa melakukan aktiviti riadah, mandi-manda di pesisir pantai Kg. Tempurung dekat sini petang tadi.(17 Dis)
Menurut Pusat Gerakan Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Penyu, Bilik Kawalan BBP Kuala Penyu menerima laporan terdapat mangsa dikhuatiri lemas di pesisir pantai Kg. Tempurung Kuala Penyu.
“Menurut maklumat dari pemanggil terdapat tiga orang mangsa lelaki melakukan aktiviti riadah, mandi-manda di pesisir Pantai. Dua orang mangsa ditemui dalam keadaan selamat manakala seorang mangsa telah hilang dan belum dijumpai.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan dengan kaedah Surface Water Rescue pada jam 5.54 petang menggunakan satu buah Bot Penyelamat dengan radius pencarian 2 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya kenyataan hari ini.
Dua mangsa yang selamat dikenali sebagai Mohamad Hafizat,15, dan Mohamad Hafizan, 17, manakala seorang mangsa yang masih hilang Iqwan Haikal,17.
Bagaimanapun, mangsa belum dijumpai, operasi SAR ditangguhkan pada jam 7.07 malam dan akan disambung semula pada esok hari 18 Disember 2022. Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.