Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Lebih 500 penghuni di flat Taman Seri Indah, Kuala Menggatal di daerah ini, merayu kepada pihak berwajib khususnya Bahagian Pengurusan Jabatan Air Negeri Sabah agar segera menyelesaikan masalah bekalan air bersih di kawasan mereka yang terjejas teruk sejak enam bulan yang lalu.
Menurut imam surau flat Taman Seri Indah, Osman Awang, 65, beliau mewakili penghuni di kawasan itu merayu agar pihak berwajib segera tampil untuk menghulurkan bantuan dan membantu menyelesaikan masalah air yang menimpa penghuni di flat itu.
“Selama enam bulan kami terpaksa menanggung siksa mencari sumber air, kami terpaksa menggali telaga, tadah air hujan dengan peralatan yang diubahsuai, sambut air aircond (penyaman udara), membeli air (yang berkemampuan) dan sebagainya untuk kegunaan harian demi meneruskan kehidupan keluarga kami.
“Selain itu ada juga pekerja turun bekerja sambil mencari air di luar dan membawa balik air apabila pulang ke rumah. Kami juga beberapa kumpulan ada mengumpul duit untuk membeli air dari pihak swasta, itulah antara usaha-usaha kami penghuni di sini.
“Kami telah berusaha dan membuat aduan ke Bahagian Pengurusan Jabatan Air Negeri Sabah, termasuklah pihak-pihak berkenaan yang lain, alasan mereka tekanan air terlalu rendah untuk disalurkan di kawasan ini.
“Bagaimanapun pihak Jabatan Air hanya menghantar air sekali dalam sebulan sahaja, itupun kalau ada, selebihnya kami usaha sendiri mencari sumber air,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Osman yang juga pesara penjawat awam Kerajaan Negeri berkata, masalah air yang ditanggung oleh penghuni flat itu disifatkan yang terburuk pernah berlaku, tempoh enam bulan ketiadaan air paip walau setitikpun adalah sangat membebankan kehidupan mereka seharian.
“Ini bukan catuan air tetapi memang tiada air sama sekali, kosong,” jelasnya sambil meluahkan rasa kekecewaan terhadap pengurusan bekalan air yang kurang cekap oleh pihak Jabatan Air di kawasan itu.
Sementara itu, sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) yang juga komuniti bahagian Sepanggar tampil menghulurkan bantuan menghantar air mineral untuk penduduk flat Taman Seri Indah hari ini.
Komuniti Sepanggar, Hafizul Andie berkata, pihaknya juga ada melaporkan masalah air di kawasan itu tetapi turut kecewa kerana sudah berulangkali aduan dibuat tetap tidak ada jalan penyelesaiannya.
“Saya turut simpati dan merayu bagi pihak penghuni di flat Taman Seri Indah ini kepada pihak berwajib khususnya Bahagian Pengurusan Jabatan Air Negeri supaya tampil menghulurkan bantuan menghantar air bersih sekurang-kurangnya dua kali seminggu kerana untuk menampung keperluan lebih 500 penghuni di sini adalah memang tidak mencukupi, tetapi meringankan sedikit beban yang mereka tanggung.
“Kami juga ada membuat aduan kepada wakil rakyat yang berkenaan tetapi sampai bila wakil rakyat bersuara baru mahu hantar bekalan air, semuanya berbalik kepada pengurusan Jabatan Air juga,” katanya.
Justeru, Hafizul berharap dengan luahan penduduk kali ini mendapat perhatian serius dan tindakan segera daripada pihak berwajib untuk menyelesaikan masalah air di kawasan terbabit.