HomeUtamaIbu bapa sambut baik BAP RM150 untuk semua tanpa mengambil kira had...

Ibu bapa sambut baik BAP RM150 untuk semua tanpa mengambil kira had pendapatan

Read Time:1 Minute, 42 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KOTA KINABALU : Golongan ibu bapa khususnya di negeri ini meluahkan rasa gembira dan lega apabila Kerajaan mengumumkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bernilai RM150 kepada semua murid.

Malah bantuan yang disalurkan Kerajaan pada Januari 2023 itu juga akan diberikan kepada semua murid tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa.

Bagi seorang penjawat awam, Jafaruddin Aco berkata, bantuan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam merupakan satu berita baik kepada semua golongan ibu bapa untuk mempersiapkan anak-anak dengan kelengkapan sekolah yang sewajarnya.

“Dengan keadaan ekonomi yang agak mendap selepas pandemik COVID-19, bantuan ini dilihat amat wajar apabila Kerajaan mengambil keputusan untuk memberi bantuan kepada semua tanpa mengira had pendapatan ibu bapa.

“Sudah pasti, bukan sahaja golongan B40 yang terkesan namun mereka yang berpendapatan tetap juga turut terkesan dengan harga barangan yang dilihat terus meningkat,” katanya ketika dihubungi Sabah Media di sini hari ini.

Beliau turut berharap agar Kerajaan dapat memantau harga peralatan dan pakaian sekolah agar tidak dinaikkan oleh peniaga dengan tidak munasabah.

Bagi seorang lagi bapa, Madzaral Sebalun turut bersetuju bahawa bantuan yang disalurkan itu sangat membantu berikutan kenaikan kos sara hidup yang dihadapi rakyat pada masa ini.

“Ini sesuatu yang sangat membantu. Ramai diluar sana terkesan dengan kenaikan kos sara hidup masa kini. Bukan sahaja golongan B40 tapi hampir semua lapisan masyarakat terjejas. Bantuan persekolahan ini dapat meringankan beban ibubapa. 

“Saya mempunyai dua orang anak yang bersekolah, anggaran kos persediaan dan persiapan sekolah adalah sekitar RM350 ke RM400,” katanya.

Turut meluahkan rasa gembira seorang penjawat awam yang juga ibu kepada dua orang anak yang bersekolah, Zawiyah Micheal yang melihat bantuan itu adalah adil dan telus.

“Pemberian ini dilihat sama rata dimana ia menunjukkan semua rakyat Malaysia menerima bantuan adil dan lebih telus tanpa mengisi borang dan sebagainya.

“Setiap kali persekolahan, anggaran perbelanjaan untuk anak-anak saya adalah lebih kurang diantara RM300 hingga RM400,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa bantuan bagi meminimumkan impak kenaikan kos sara hidup yang perlu ditanggung rakyat. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
SukanUtama

Ram Singh dilantik sebagai Presiden Persatuan Memanah Negeri Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular