HomeUtamaWajib berpersatuan, syarat mohon lesen kenderaan perkhidmatan awam

Wajib berpersatuan, syarat mohon lesen kenderaan perkhidmatan awam

Read Time:1 Minute, 55 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KOTA KINABALU : Pemegang lesen kenderaan perkhidmatan awam di Sabah dan Labuan diwajibkan untuk menjadi ahli persatuan sebagai syarat permohonan lesen berkuatkuasa 1 Januari 2023.

Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah Dato’ Chin Kim Hiung berkata, langkah itu adalah bertujuan bagi memastikan penyaluran maklumat kepada pemegang lesen kenderaan perkhidmatan awam akan lebih teratur dan berkesan.

“Penyaluran maklumat ini penting kerana LPKP Sabah dari masa ke semasa akan mengeluarkan pekeliling atau notis sama ada peraturan baharu atau lain-lain maklumat penting yang melibatkan perkhidmatan awam di Sabah dan Labuan.

“Berdasarkan kepada tinjauan dan aduan yang diterima LPKP Sabah, terdapat pemegang lesen tidak menerima maklumat yang dikeluarkan oleh LPKP Sabah atas beberapa faktor. Antaranya adalah pemegang lesen tidak mengemaskini maklumat perhubungan sehingga menyukarkan LPKP Sabah menghubungi pihak terbabit.

“Sehubungan itu, dengan pelaksanaan peraturan baharu ini, penyaluran maklumat akan lebih teratur dan berkesan di mana LPKP Sabah akan menyalurkan semua maklumat terkini melalui persatuan untuk disampaikan kepada ahli-ahli mereka,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Chin berkata, dari segi pelaksanaan, setiap pemegang lesen akan diwajibkan mengemukakan dokumen pengesahan sebagai ahli persatuan seperti kad ahli untuk disertakan di dalam borang permohonan dan kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan permohonan tersebut ditolak.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa persatuan perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh LPKP Sabah iaitu persatuan masih aktif dan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, mewakili 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pemegang lesen aktif di daerah atau kawasan terbabit atau jumlah keahlian (yang juga pemegang lesen) adalah tiga kali ganda daripada jumlah Ahli Jawatan Kuasa Persatuan.

“Persatuan juga akan diwajibkan mengemukakan senarai keahlian beserta nombor rujukan lesen kenderaan perdagangan, salinan sijil pendaftaran persatuan beserta surat pengesahan keaktifan persatuan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia setiap tahun kepada LPKP Sabah. Maklumat lanjut mengenai syarat ini boleh dirujuk menerusi Pekeliling LPKP Sabah Bilangan 12 Tahun 2022, bertarikh 12 Ogos 2022,” katanya.

Dalam pada itu, Chin turut mengingatkan pemegang lesen kenderaan perkhidmatan awam di Sabah dan Labuan untuk menyerahkan Laporan Maklumat Tahunan Penumpang kepada LPKP Sabah berdasarkan kepada tempoh yang telah ditetapkan.

“Makluman mengenai perkara ini telah dikeluarkan oleh LPKP Sabah sejak 8 April 2022 menerusi Pekeliling LPKP Sabah Bilangan 3 Tahun 2022. Saya berharap agar peraturan ini dipatuhi kerana kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan lesen pengusaha terbabit dibatalkan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Nurul Yanadido ke Hongkod Koisaan kali kedua

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular