HomeUtamaKerajaan Negeri harus sedia ambil alih pengurusan feri Labuan - Menumbok

Kerajaan Negeri harus sedia ambil alih pengurusan feri Labuan – Menumbok

Read Time:1 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah harus bersedia mengambil alih pengurusan feri laluan Labuan-Menumbok yang diswastakan jika rundingan antara Kementerian Pengangkutan dan pengusaha feri menemui kebuntuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, langkah pengusaha feri roll-on roll-off (ro-ro) menaikan harga tambang kenderaan persendirian antara 42.5 hingga 73.3 peratus mulai 1 Januari tahun depan adalah kurang wajar ketika rakyat sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi.

“Kita memahami kehendak pengusaha feri, kerana mereka mahu menambah keuntungan, tapi kerajaan perpaduan yang baharu dibentuk harus selari dengan misinya untuk mengatasi kos sara hidup rakyat.

“Jika pihak pengusaha feri bertegas untuk tidak menurunkan kadar tambang baharu itu, maka Kerajaan Negeri perlu ada inisiatif lain untuk mengambil alih operasi pengangkutan itu di bawah seliaan Jabatan Laut, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), bertaraf menteri itu mengesa Kementerian Pengangkutan mengkaji isu tersebut kerana wujud rasa tidak puas hati di kalangan orang ramai.

Bagaimanapun katanya, jika alasan pengusaha feri itu relevan, kerajaan mungkin perlu memberikan subsidi minyak kepada pengusaha sebagai langkah mengekalkan harga tambang sedia ada.

Masiung mencadangkan, jika kerajaan bersetuju, pengguna kenderaan juga boleh diberikan subsidi tambang sepertimana diberikan kepada penumpang individu sebelum ini.

Semalam Bernama melaporkan, Pengerusi Labuan Mainland Sdn Bhd, Datuk Chin Hong Voi berkata, kenaikan itu bagi menampung kos penyelenggaraan, termasuk harga bahan api dan pelaksanaan gaji minimum.

Kenaikan tambang tersebut iaitu 42.5 peratus melibatkan kenderaan persedirian dan komersial, manakala 73.3 peratus melibatkan motorsikal berkuasa tinggi.

Bagaimanapun, katanya kenaikan tambang itu tidak melibatkan kenderaan perdagangan termasuk lori dan trailer.

Jelasnya, empat buah feri milik syarikat itu beroperasi lima hingga lapan perjalanan sehari.

RELATED ARTICLES
Utama

Angin kencang landa Semporna, 35 rumah dan 20 kenderaan terjejas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular