HomeUtamaLembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia perjelas isu penamatan pegawai kontrak

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia perjelas isu penamatan pegawai kontrak

Read Time:3 Minute, 45 Second

CYBERJAYA: Isu penamatan pekerja sering dan akan terjadi berikutan pelaksanaan penstrukturan semula sesebuah syarikat mahupun organisasi bertujuan bagi menambah baik mutu perkhidmatannya.

Sehubungan dengan itu, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin menarik perhatian masyarakat berkenaan isu penamatan pegawai kontrak di agensi ini yang tular di beberapa saluran media sejak kebelakangan ini.

Menurut kenyataan media, Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, secara dasarnya, HASiL menggajikan pegawai-pegawai kontrak ini bagi tujuan pelaksanaan tugasan atau fungsi yang perlu diselesaikan dalam suatu tempoh yang spesifik, iaitu berasaskan projek atau project based.

Katanya, selaras dengan perkembangan dan pembangunan prasarana teknologi maklumat di HASiL, proses kerja di agensi ini telah melalui pelbagai fasa digitalisasi yang pesat, sekali gus merubah tatacara kerja di HASiL.

“Transformasi pendigitalan ini membolehkan kebanyakan tugasan dan fungsi kerja di HASiL diautomasikan seterusnya meningkatkan kos kecekapan dalam mentadbir sistem percukaian negara.

“Selari dengan usaha digitalisasi ini, HASiL telah memperkemaskan struktur organisasinya yang mana turut melibatkan penstrukturan sumber manusia. Pelaksanaan ini turut melibatkan isu mengkaji semula keperluan untuk menggaji pegawai kontrak bulanan dan harian di HASiL,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, proses automasi yang dilaksanakan oleh HASiL membolehkan tugasan yang selama ini dilaksanakan oleh pegawai kontrak dapat diagihkan kepada pegawai tetap sedia ada dan dapat dimanfaatkan secara optimum.

“Sehubungan dengan itu, keputusan untuk tidak meneruskan amalan menggaji pegawai kontrak bulanan dan harian telah dibuat pada tahun 2018 dan diputuskan untuk dilaksanakan secara sepenuhnya bermula pada 01 Januari 2023.

“Penamatan ini akan melibatkan seramai 42 orang pegawai kontrak bulanan dan 998 orang pegawai kontrak harian. Namun demikian, pemakluman berkenaan keputusan untuk tidak mengambil pegawai kontrak ini telah pun dijelaskan seawal permulaan tahun 2022 kepada para pegawai yang terlibat bertujuan memberi ruang dan masa kepada pegawai yang terkesan untuk mengatur perjalanan kerjaya mereka selain mencari peluang pekerjaan di pasaran terbuka.

“Sungguhpun begitu, HASiL amat cakna dan prihatin akan situasi yang dialami oleh pegawai kontrak yang telah menabur bakti di agensi ini. HASiL telah mengambil inisiatif membantu pegawai yang terkesan untuk mendapatkan pekerjaan melalui penganjuran program bersama dengan syarikat-syarikat ejen cukai untuk memperkenalkan para pegawai kontrak ini dan membuat pengesyoran bagi tujuan pengambilan kepada pihak tersebut,” jelasnya.

Selain itu juga, katanya, HASiL terlibat dalam penganjuran program MYFutureJobs yang dilaksanakan oleh PERKESO kepada pegawai kontrak yang sedang berkhidmat di HASiL. Program ini adalah salah satu kaedah pencarian kerja dalam kalangan pegawai
kontrak yang bakal menamatkan perkhidmatan dengan HASiL pada 31 Disember 2022.

“Pihak PERKESO telah hadir memberikan penerangan lanjut berhubung program ini dan seterusnya membantu pegawai untuk mendaftar dalam sistem pencarian kerja tersebut.

“Hasilnya, dalam tahun 2022, seramai 59 orang pegawai kontrak telah berjaya mendapat pekerjaan lain dan telah menamatkan kontrak mereka dengan HASiL,” ujarnya.

Kenyataan itu juga menyentuh aspek pengurusan kerjaya HASiL secara dalaman pula, penawaran lantikan ke jawatan tetap ke peringkat lebih tinggi iaitu ke peringkat eksekutif turut diberikan kepada pegawai-pegawai kontrak berdasarkan merit kelayakan dan kesesuaian jawatan.

“Walau bagaimanapun, lantikan ke jawatan tetap secara menyeluruh kepada semua pegawai kontrak tidak dapat dilaksanakan bagi memastikan keseimbangan peluang antara calon kategori lain yang berkelayakan seperti calon dalam kalangan pegawai tetap
sedia ada dan calon daripada luar HASiL.

“Untuk rekod, seramai 653 orang pegawai kontrak telahpun dilantik ke jawatan tetap bagi tempoh mulai tahun 2017 hingga 2022.

“Justeru, tindakan HASiL untuk tidak meneruskan perkhidmatan pegawai kontrak ini tidak didorong oleh kepentingan peribadi mana-mana pihak tetapi bertunjangkan kepada hasrat meningkatkan kecekapan operasi agensi ini selain memastikan sumber kewangan negara digunakan secara optimum bagi mengelakkan sebarang pembaziran,” katanya.

Dalam pada itu, HASiL juga ingin menyatakan bahawa hasil kutipan cukai langsung negara yang ditadbir oleh HASiL tidak boleh digunakan semata-mata bagi tujuan penyambungan kontrak para pegawai ini seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Katanya, sekiranya cadangan ini diambil
kira serta dilaksanakan ia bakal mengundang perspektif negatif pihak-pihak lain. Sebaliknya hasil kutipan langsung cukai negara perlu diagihkan sama rata demi kemakmuran serta kesejahteraan negara.

“Adalah diharapkan penjelasan ini dapat memperbetulkan kekeliruan dan salah tafsir semua pihak mengenai tindakan HASiL berkenaan isu penamatan pegawai kontrak ini,” ujarnya.

Selain itu juga, katanya, HASiL amat terbuka untuk menerima sebarang kritikan dan juga cadangan membina daripada masyarakat demi memastikan perkhidmatan percukaian yang diberikan adalah profesional seterusnya dapat meningkatkan kadar pematuhan cukai di Malaysia.

“Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada kami melalui:
a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
b) HASiL Live Chat; dan
c) Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan Potong Berakhir Tragedi: Isteri Pemandu Maut di Lokasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular