HomeUtamaTiada kenaikan tarif enam bulan bagi 656,000 pengguna di Sabah, Labuan

Tiada kenaikan tarif enam bulan bagi 656,000 pengguna di Sabah, Labuan

Read Time:1 Minute, 49 Second

BERNAMA

PUTRAJAYA: Lebih 656,000 pengguna elektrik di Sabah dan Labuan tidak akan terlibat dengan kenaikan tarif bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Jun 2023 susulan pelaksanaan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT).

Suruhanjaya Tenaga (ST) menerusi kenyataan memaklumkan pengguna domestik dan bukan domestik yang dikecualikan daripada surcaj ICPT terdiri daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam kategori tarif komersial dan industri voltan rendah.

Sementara itu, pengguna bukan domestik di Sabah dan Labuan yang merangkumi kategori tarif voltan rendah, sederhana dan tinggi yang antaranya terdiri daripada komersial dan industri pula akan dikenakan surcaj ICPT secara penuh pada kadar 10.04 sen setiap kilowatt per jam (kWj).

“Kerajaan memperuntukkan subsidi RM212.20 juta sepanjang tempoh enam bulan itu bagi menampung kos penjanaan elektrik untuk memastikan tiada kenaikan tarif berlaku,” menurut ST di sini semalam.

ST dalam kenyataan itu memaklumkan semakan ICPT dari 1 Julai hingga 31 Dis ini mendapati berlaku peningkatan dalam kos bahan api dan kos penjanaan elektrik dianggarkan sebanyak RM292.05 juta atau bersamaan dengan surcaj ICPT pada kadar 10.04 sen/kWj.

Peningkatan kos itu berikutan kenaikan kos bahan api diesel dan medium fuel oil (MFO) yang merupakan sebahagian daripada bahan api penjanaan elektrik di Sabah dan Labuan selain gas asli yang berpunca antaranya daripada krisis tenaga global di luar kawalan kerajaan.

Dalam satu kenyataan berasingan, ST memaklumkan pengguna domestik di Kulim High Technology Park (KHTP) juga dikecualikan daripada kadar surcaj ICPT dan tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Jun 2023.

Sementara itu, surcaj ICPT sebanyak 8.19 sen/kWj dilepaskan sepenuhnya kepada pengguna bukan domestik.

Semakan ICPT dari 1 Julai hingga 31 Dis 2022 mendapati berlaku peningkatan lebih tinggi dalam kos bahan api dan kos penjanaan di KHTP iaitu sebanyak RM76.02 juta atau bersamaan dengan surcaj ICPT pada kadar 8.19 sen/kWj antaranya disebabkan kenaikan kos bahan api di pasaran global.

Orang ramai digalakkan mengamalkan penggunaan elektrik dengan bijak melalui penggunaan peralatan elektrik cekap tenaga, memastikan suis ditutup apabila tidak digunakan serta melaksanakan penyelenggaraan terhadap peralatan elektrik secara berkala.

Menurut ST, usaha itu secara tidak langsung akan menggalakkan pengguna menyumbang kepada pengurangan jejak karbon negara selaras dengan Dasar Tenaga Negara 2022-2040. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Angin kencang landa Semporna, 35 rumah dan 20 kenderaan terjejas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular