HomeUtamaKKM tingkat kaedah bendung penularan COVID-19, perketat SOP di pintu masuk negara

KKM tingkat kaedah bendung penularan COVID-19, perketat SOP di pintu masuk negara

Read Time:1 Minute, 51 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KOTA KINABALU : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meningkatkan lagi kaedah pembendungan penularan jangkitan COVID-19 dalam negara serta kesiapsiagaan bagi berdepan sebarang kemungkinan peningkatan kes COVID-19.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya memberi perhatian serius terhadap kebimbangan rakyat berhubung kenaikan kes COVID-19 di negara China serta sekatan dibuat beberapa negara lain terhadap pengembara dari China.

Katanya, dengan pelanjutan Malaysia sebagai ‘Kawasan Tempatan Jangkitan’ sehingga Jun 2023, ia akan memberi ruang kepada KKM untuk mengambil sebarang tindakan segera bila diperlukan.

“Perkara ini sememangnya adalah keutamaan KKM ketika ini.  Ini termasuk mengubah dasar sedia ada terutama penjagaan kesihatan pengurusan pandemik COVID-19 di sempadan negara serta memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan kesihatan di mana-mana pintu masuk negara.

“Ia akan dilaksanakan jika perlu, bukan sahaja kepada pengunjung atau pengembara (warganegara Malaysia dan bukan warganegara) yang tiba dari China bahkan yang tiba dari semua negara di dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaliha berkata, KKM juga sentiasa bersiap siaga untuk meningkatkan kapasiti kesihatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Katanya, KKM sentiasa berhubung rapat dan mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa bersama pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), China serta rakan-rakan negara ASEAN.

“KKM juga sentiasa mengambil dasar berpandukan dan berasaskan sains serta data yang tepat. Berdasarkan laporan, pihak WHO telah mengadakan mesyuarat dengan China bagi urusan perkongsian data terkini dan ia akan diteruskan bagi mengetahui secara terperinci maklumat, situasi dan pengurusan COVID-19 di negara itu.

“Berdasarkan maklumat yang dilaporkan China kepada pihak WHO, varian dan subvarian yang ada di China juga telah dikesan di Malaysia.

“Merujuk kepada maklumat sedia ada, vaksin COVID-19 berkesan bagi memberi perlindungan daripada mendapat gejala yang teruk akibat jangkitan virus COVID-19 dan ia sepatutnya mengurangkan kemasukan ke hospital,” katanya.

Terdahulu, Malaysia menetapkan pengembara yang tiba dari luar negara termasuk China perlu melalui saringan demam di pintu masuk antarabangsa (PMA) manakala sampel air kumbahan pesawat dari republik itu juga akan diambil.

Sampel akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian rantai polimerase (PCR) dan seterusnya untuk penjujukan genom sekiranya positif COVID-19.

KKM juga mempertimbangkan keperluan vaksinasi penuh bagi pengembara dari luar, termasuk China sebagai syarat untuk mereka dibenarkan memasuki negara ini. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pengalaman Mengecewakan dengan Fly Pass Syarikat Penerbangan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular