RANAU: Sebuah jambatan laluan utama penduduk di Kampung Mohimboyon dekat sini, telah runtuh akibat air sungai deras dalam satu kejadian pada Isnin.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.05 petang pada Isnin (2 Jan 2023) mengenai kejadian itu yang terletak kira-kira 13 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau.
Katanya, setibanya pasukan Bomba di lokasi berkenaan mendapati sebuah jambatan yang merupakan laluan utama penduduk di Kampung Mohimboyon telah runtuh akibat air deras.
“Pasukan Bomba bertindak membuat pemeriksaan dan pemantauan di lokasi kejadian. Bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
“Setelah membuat pemeriksaan kemerbahayaan di lokasi, pasukan Bomba memasang sawar-sawar bagi menutup laluan jambatan tersebut agar tidak dilalui oleh penduduk kampung,” katanya dalam satu kenyataan semalam.