Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
KOTA KINABALU : “Semua wakil rakyat yang berkumpul di sini sekadar untuk berbincang tentang persediaan Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) esok,” kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.
Katanya, perbincangan itu hanya sekadar untuk tujuan penyelarasan perjalanan Persidangan Khas DUN Sabah.
“Kami semua 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkumpul di sini sekadar untuk berbincang tentang persediaan Persidangan Khas DUN bagi tujuan untuk membentangkan seterusnya meluluskan dua usul rang undang-undang (RUU).
“Dalam perjumpaan ini, kita tiada perkara lain yang kita bincangkan, hanya sekadar tujuan penyelarasan untuk siapa yang berucap pada esok hari di DUN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di kediaman rasmi Sri Gaya di sini petang tadi.
RUU yang akan dibentangkan esok adalah berkaitan dengan enakmen penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Sabah dan enakmen penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah.
Masidi yang juga Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, semua wakil rakyat diharap akan dapat bersifat matang dalam melaksanakan tanggungjawab untuk mengurus dua enakmen berkenaan.
“Kita harap semua wakil rakyat akan bersifat matang, kita pergi ke DUN ini dalam melaksanakan tanggungjwab kita sebagai wakil rakyat bagi mengurus dua enakmen yang diharap akan dpt diluluskan esok.
“Ini juga akan ada kaitan dengan memberi autonomi kuasa kepada Sabah itu sendiri untuk mengurus hal ehwalnya sendiri,” katanya.
Tambahnya, RUU itu penting kerana ia ada kaitan dengan autonomi Sabah untuk mengurus sendiri hal ehwal gas.
Sebelum ini ia di bawah Suruhanjaya Tenaga (ST) persekutuan dan PETRONAS.
“Ini adalah antara hasil rundingan kerajaan negeri berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya. – SABAH MEDIA