HomeUtamaTahun sibuk, mencabar untuk industri pelancongan - Christina

Tahun sibuk, mencabar untuk industri pelancongan – Christina

Read Time:1 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU: Membawa lebih ramai pelancong datang ke Sabah menjadi antara visi dan misi yang ditetapkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew.

Beliau menjangkakan tahun ini akan menjadi tahun yang lebih baik untuk kementeriannya.

Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api berkata, ia adalah berikutan pasaran yang rancak untuk pembangunan Pelancongan khususnya di negeri ini.

“Tahun ini, saya menjangkakan akan menjadi tahun yang sibuk, mengujakan dan mencabar untuk industri pelancongan di negeri ini.

“Pada minggu hadapan, saya akan bertemu dengan pembantu menteri, setiausaha tetap dan pegawai kanan kementerian. Saya juga akan bertemu dengan pemain industri pelancongan bagi merancang pelan untuk Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Christina berkata, sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia, Sabah merekodkan kedatangan kira-kira 4.3 juta pelancong.

Katanya, lebih separuh daripada pelancong itu adalah pelancong dari China sepanjang tempoh perkhidmatan beliau dari 2018 hingga 2020 di bawah kerajaan pimpinan Parti Warisan (WARISAN).

“Tidak lama kemudian, terdapat perubahan kerajaan dan kemudian disusuli dengan pandemik COVID-19, jadi pasaran (pelancongan di Sabah) sangat senyap.

“Kini apabila keadaan sudah reda, saya percaya sektor pelancongan akan menghasilkan momentum yang lebih besar lagi,” katanya.

Semalam, Christina adalah salah seorang dari ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah selain ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe yang dilantik menjadi menteri dalam majlis istiadat mengangkat sumpah di Istana Seri Kinabalu, semalam.

Sebelum ini, ADUN Sukau Datuk Jafry Ariffin menerajui kementerian berkenaan sebelum rombakan kabinet kerajaan negeri baharu dilakukan susulan kemelut politik yang melanda Sabah, baru-baru ini. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Hujan lebat tahap waspada di 5 negeri hingga Jumaat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular