Stadium Likas dinaiktaraf, persediaan hadapi Piala AFC September depan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 8 Second

KOTA KINABALU : Stadium Likas yang menjadi gelanggang utama pasukan Sabah FC bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini akan dibaikpulih serta dinaiktaraf dalam tempoh terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Marzuki Nasir berkata, ia adalah sebagai mematuhi spesifikasi yang ditetapkan Malaysian Football League (MFL) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Katanya, ini juga adalah bagi membolehkan persiapan awal Sabah FC menjadikan Stadium Likas sebagai tuan rumah kepada kejohanan besar khususnya saingan Piala AFC 2023.

Tambahnya, kerja-kerja baikpulih dan naiktaraf akan dimulakan secepat mungkin dan dijangka siap sepenuhnya sebelum kejohanan Piala AFC bermula pada September depan.

“Setiausaha Tetap, Kementerian Belia Dan Sukan Sabah (KBSS), Datuk Mansur Asun menerusi Lembaga Sukan Sabah (LSS) komited akan memberi jaminan sekaligus menyokong serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Sabah FC.

“Ini termasuk membantu membaikpulih dan menaiktaraf Stadium Likas bagi membolehkan Stadium Likas mematuhi spesifikasi yang ditetapkan Malaysian Football League (MFL) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC),” katanya dalam kunjungan hormat di sini hari ini.

Marzuki berkata, beliau melahirkan rasa lega selepas KBSS bersetuju untuk membantu Sabah FC bagi memastikan Stadium Likas dapat dibaikpulih bagi mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.

“Kita yakin dengan sokongan seperti ini sedikit sebanyak akan menyuntik semangat pasukan Sabah FC menghadapi kejohanan besar seperti Piala AFC ini,” katanya.

Hadir sama Pengurus dan Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee serta Pengarah Sukan Sabah FC, Scott Ollerenshaw. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *