KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri meluluskan RM10 juta peruntukan tambahan kepada Universiti College Sabah Foundation (UCSF) bagi menyokong meningkatkan kualiti pendidikan dan kecemerlangan di institusi tersebut.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan penuh terhadap apa juga usaha pembangunan oleh universiti tunggal milik Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Sabah iaitu UCSF.
“Bagi memastikan UCSF terus cemerlang dan menjadi pilihan anak-anak kita, Kerajaan Negeri akan memberi peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta sebagai geran penyelidikan pembangunan Sabah, kursus dan latihan kepada penjawat awam serta belia, dan projek perintis bagi pengeluaran batik botanic UCSF.
“Saya juga meluluskan cadangan penubuhan kursi akademik di UCSF yang diberi nama Kursi Pembangunan Sabah UCSF dengan suntikan dana permulaan sebanyak RM5 juta. Saya berharap dengan bantuan tambahan ini, UCSF akan terus cemerlang”, katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen ke-2 UCSF di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), dekat sini, hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan pimpinannya juga akan terus menyokong segala usaha UCSF dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan kecemerlangan institusi, melahirkan modal insan yang berkemahiran dan berkualiti, seterusnya menggerakkan transformasi pendidikan di negeri ini.
Menurutnya, dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Petronas dan UCSF pada Oktober 2022, merupakan satu lagi pencapaian dalam usaha pembangunan modal insan di Sabah.
“Melalui kerjasama ini, UCSF akan menawarkan kursus berasaskan Minyak dan Gas di kampusnya untuk melahirkan lebih ramai pelajar tempatan dalam pelbagai bidang pekerjaan sektor berkenaan. Hakikatnya bahawa polisi-polisi pengurusan bakat dan modal insan telah pun digubal dan akan terus menjadi keutamaan saya,” katanya.
Menurut Hajiji lagi, UCSF yang telah berusia 8 tahun, dengan matlamat penubuhannya sebagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Sabah yang bersifat memenuhi tanggungjawab
sosial dan sustainability, telah mengekalkan objektif awal penubuhannya untuk melahirkan lebih ramai tenaga profesional yang mampu membanggakan masyarakat serta menyumbang dalam aspek pembangunan negeri Sabah.
“Saya berasa gembira kerana UCSF telah menyediakan peluang dan tempat kepada ramai pelajar di negeri ini melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. UCSF juga telah melahirkan ramai graduan yang berdaya saing dalam pasaran pekerjaan, khususnya dalam kalangan rakyat Sabah”, katanya.
Beliau juga mencadangkan agar UCSF meluaskan programnya dengan membuka mini kampus di Tawau selaras dengan usaha untuk mengantarabangsakan universiti itu dalam aspek akademik dan penyelidikan.
Hajiji berkata, kerajaan Sabah telah melakukan yang terbaik bagi membangunkan negeri ini di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, sehingga berjaya meraih hasil lebih RM6.6 bilion pada tahun 2022.
Katanya, hasil yang dikutip itu merupakan prestasi terbaik kerajaan negeri selepas bersama membentuk Malaysia pada tahun 1963, yang juga antara bukti kesungguhan kerajaan Sabah pada masa ini membangunkan negeri ini.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri juga terus melaksanakan dasar kukuh bagi membawa lebih banyak pelaburan.
Katanya, dalam Belanjawan Negeri 2023 sebanyak RM175.61 juta telah diperuntukkan untuk pembangunan modal insan dan Information and Communication Technology (ICT) menerusi pelbagai inisiatif bagimerangsang minat pelajar dalam Pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menurutnya, peruntukan itu juga untuk merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar bagi meluaskan penerimaan digital dan memacu transformasi digital di Sabah.
“Pembangunan ICT di Sabah juga akan diberi penekanan dengan Sabah Skills & Technology Centre akan memperkenalkan beberapa inisiatif untuk membangun dan menyokong perkembangan industri digital, disamping meneruskan latihan teknologi Revolusi Industri 4.0 sepanjang tahun ini.
“Sabah Creative Economy and Innovation Centre juga akan meneruskan program bagi memastikan bakat modal insan di Sabah terus digilap,” katanya.