Langkah penubuhan Majlis Penasihat Buruh Sabah bantu ekonomi negeri berkembang seimbang

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 34 Second

INANAM : Kementerian Sumber Manusia (KSM) memberi jaminan akan menjadi rakan kongsi kepada para majikan agar semua keputusan berada dalam situasi menang-menang bagi semua pihak.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud berkata, ia menerusi penubuhan Majlis Penasihat Buruh Sabah yang dijangka akan memastikan segala undang-undang buruh sedia ada dapat dilaksana dengan berkesan.

Katanya, pada ketika ini, majlis berkenaan masih dalam peringkat cadangan awal.

“Ini baru cadangan awal dan kita nampak majlis tersebut akan menjadi satu tempat perbincangan untuk semua terutama kita mahu Kerajaan Negeri berperanan untuk mengetahui majlis ini dan semua majikan, wakil pekerja serta agensi kementerian akan bersama berbincang bersama melihat isu melibatkan majikan dan pekerja.

“Meskipun ia masih peringkat cadangan namun ianya akan tetap dijayakan bagi memastikan ekonomi negeri Sabah berkembang dengan seimbang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Sepanggar di Pekan Inanam di sini hari ini.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, penubuhan majlis itu akan bertepatan dengan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC).

“Ketika ini saya sudah memaklumkan kepada pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah menyediakan kertas konsep dan kita akan membincangkannya bersama Kerajaan Negeri Sabah.

“Kita menyeru kepada majikan terutamanya dalam Parlimen Sepanggar agar dapat memastikan kesejahteraan sosial pekerja terus dipelihara,” katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata, perpaduan kaum dan keharmonian antara agama di Malaysia khususnya di negeri ini adalah anugerah paling bernilai daripada Tuhan untuk rakyat Malaysia.

“Sambutan Tahun Baru Cina peringkat Sepanggar pada hari ini amat meriah dengan kehadiran pelbagai kaum dan agama.  Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang hadir.

“Inilah keunikan di Sabah, walaupun kita meraikan Tahun Baru Cina,namun saya lihat penari tarian singa adalah dari kaum lain. Ini amat baik untuk keharmonian negara dan kita harap ini berterusan supaya walaupun kita meraikan Tahun Baru Cina tetapi ia menjadi wadah untuk kita bersama-sama untuk memastikan keharmonian di negeri ini,” katanya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *