Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
KOTA KINABALU : Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah berjaya melakukan pembedahan otak ke atas seorang pesakit dalam keadaan sedar sepenuhnya yang pertama dilaksanakan di negeri ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, pembedahan yang dikenali sebagai ‘awake craniotomy’ itu selamat dijalankan pada 12 Januari lalu di Dewan Bedah HQE 2.
Katanya, pembedahan pertama di Sabah itu merupakan hasil usaha Pakar Bedah Otak HQE 2, Dr. M. Sofan Zenian dan Dr. Hezry Abu Hasan, bersama dengan Dr Yeap Boon Tat, Pakar Bius Otak dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, serta Dr. Liew Boon Seng, Pakar Perunding Kanan Pembedahan Otak dari Hospital Sungai Buloh.
“Pesakit merupakan seorang wanita berusia 50 tahun yang mengalami simptom sakit kepala sejak Oktober 2022 dan disahkan menghidap ‘multiple meningioma’ di bahagian kiri otak setelah didiagnosis di Hospital Duchess Of Kent (HDOK) Sandakan.
“Keadaan klinikal dan gejala yang dialami pesakit semakin teruk sehingga menjejaskan kualiti kehidupan beliau.
“Oleh yang demikian, keputusan untuk melakukan pembedahan otak menggunakan teknik ‘awake craniotomy’ adalah bertujuan untuk merawat dan seterusnya membolehkan pesakit menjalani kualiti kehidupan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr Rose Nani berkata, menerusi pembedahan itu, pesakit adalah dalam keadaan sentiasa sedar sepanjang pembedahan dan pakar bedah otak akan sentiasa memantau tahap kesedaran serta kecerdasan otak dari semasa ke semasa sepanjang pembedahan ini.
Katanya, ianya penting agar pakar bedah otak dapat menilai sejauh mana keberkesanan pembedahan tersebut dan kesan sampingan yang mungkin timbul seperti pendarahan di dalam otak.
“Oleh yang demikian, kerjasama erat di antara pakar bius otak dan pakar saraf adalah diperlukan sepanjang pembedahan ini. Contoh-contoh pesakit yang boleh mendapat manfaat melalui pembedahan ‘awake craniotomy’ adalah seperti ketumbuhan di dalam otak, benjolan saluran darah dan pendarahan di otak.
“Selain daripada itu, teknik pembiusan secara sedar yang digunakan dalam pembedahan ‘awake craniotomy’ ini juga merupakan yang pertama kali dilakukan di negeri Sabah. Pakar bius otak akan memastikan ubat bius yang diberikan kepada pesakit adalah mencukupi dan tidak terlalu banyak sehingga pesakit tertidur nyenyak.
“Ubat yang diberikan memerlukan mesin khas yang dipanggil Target Controlled Infusion (TCI) yang menyukat kepekatan ubat di dalam darah pesakit. Pesakit yang menerima ubat bius dalam keadaan sedar ini akan boleh berkomunikasi dengan doktor sepanjang pembiusan,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Rose Nani berkata, bagi pembedahan otak, biasanya bius penuh iaitu ‘general anaesthesia’ akan diberikan dengan memasukkan tiub pernafasan ke dalam saluran pernafasan pesakit.
“Namun begitu dalam pembedahan ‘awake craniotomy’ ini, saluran pernafasan pesakit adalah tidak diganggu. Sehubungan itu, komplikasi seperti saluran pernafasan tersumbat dan kesukaran memasukkan tiub pernafasan dapat dielakkan,” katanya.
Sementara itu, Dr Rose Nani berkata, pembedahan ‘awake craniotomy’ ini telah berlangsung selama enam jam dengan pesakit dalam keadaan terjaga.
Katanya, pesakit telah menerima penerangan secara menyeluruh daripada pakar bedah dan pakar bius, selain menyatakan keyakinan beliau terhadap pasukan bedah dan bius sebelum menjalani pembedahan ini.
“Sepanjang pembedahan ini, pesakit dapat mengeja nama dan menyanyikan sebuah lagu ringkas. Selepas pembedahan, pesakit hanya mengalami gejala sakit kepala yang sedikit sahaja dan dibolehkan minum air dan makan hidangan lembut keesokan harinya.
“Pembedahan otak ‘awake craniotomy’ telah lama diperkenalkan di dunia sejak awal tahun 2000 lagi. Pembedahan ini telah dimulakan di Malaysia seawal tahun 2010 di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Sungai Buloh dan Hospital Sultanah Aminah (HSA).
“Persiapan dan perbincangan rapi di antara HQE 2, Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan dan UMS telah dimulakan sejak November 2022 bagi melaksanakan pembedahan ini,” katanya.
Terdahulu, Dr Rose Nani berkata, pihaknya merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua yang telah komited menjayakan pembedahan ini.
Katanya, semoga kejayaan dan kerjasama daripada pelbagai pihak seperti ini dapat diteruskan pada masa yang akan datang. – SABAH MEDIA