HomeUtamaKerajaan Perpaduan digesa tangani isu pencerobohan perairan negara di Laut China Selatan...

Kerajaan Perpaduan digesa tangani isu pencerobohan perairan negara di Laut China Selatan – Dr Daud

Read Time:4 Minute, 12 Second

BONGAWAN: Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa mencari penyelesaian terbaik bagi menangani isu pencerobohan perairan negara di Laut China Selatan oleh pihak berkuasa China.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bongawan, Dr Daud Yusuf berkata, kepentingan serta kedaulatan Malaysia khususnya keselamatan rakyat di Sabah dan Sarawak dikhuatiri tergugat jika berlaku sebarang konflik di Laut China Selatan.

Pada masa sama katanya, banyak kepentingan Malaysia di perairan negara di Laut China Selatan yang perlu dipertahan khususnya sektor minyak dan gas serta perikanan laut dalam bagi bekalan makanan negara termasuk pelancongan.

Bagaimanapun katanya, semua aktiviti ekonomi itu kini semakin terancam, dengan kegiatan pencerobohan kapal asing di perairan negara di Laut China Selatan hingga dikhuatiri menjejaskan kepentingan Malaysia.

“Bagi tahun 2021 sahaja, laporan Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) mengesahkan terdapat 23 kes pencerobohan kapal China di Zon Maritim Malaysia telah direkodkan, berbanding 89 laporan yang direkodkan antara tahun 2016 hingga 2019.

“Siri pencerobohan ini bukan saja memberi kesan negatif kepada kestabilan politik, keselamatan dan kedaulatan negara, malah turut memberi kesan kepada ekonomi Malaysia khususnya di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dr Daud yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan berkata, pada tahun 2021, industri perikanan laut dalam negara dianggarkan mengalami kerugian sehingga RM4 bilion ekoran pencerobohan asing tersebut.

Malah katanya, aktiviti penerokaan minyak dan gas oleh Petronas di kawasan ‘Exclusive Economic Zone’ (EEZ) seringkali diganggu ‘kapal penyelidik’ dan ‘kapal pengawal’ milik China.

“Adalah tidak wajar dan ‘unconstitutional’ apabila negara asing ‘berkampung’ tanpa izin dan menduduki perairan Laut China Selatan sewenang-wenangnya, menggugat hasil laut serta khazanah sumber asli yang berada di sekitarnya.

“Justeru, kita harus pastikan perairan kita di Laut China Selatan terus dilindungi dengan aset-aset ketenteraan terbaik yang kita ada kerana khazanah nasional ini harus dijaga ‘at all cost’ termasuk keselamatan rakyat di Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan Persekutuan bersama-sama Kerajaan Negeri perlu tingkatkan peruntukan bagi keselamatan dan persiapan menambahbaik aset ketenteraan yang terkini malah wajar dititikberatkan dalam masa terdekat,” tegasnya.

Dr Daud berkata, pada 7 Disember 2022 lalu, Petronas telah mengumumkan penemuan minyak dan gas baharu di telaga Nahara-1, Blok SK-306 perairan Balingian iaitu kira-kira 150km dari Bintulu, Sarawak.

Katanya, penemuan itu merupakan khabar baik buat rakyat Malaysia, khususnya rakyat Sarawak dalam terus memastikan industri minyak dan gas di Malaysia kekal berdaya saing dan berpotensi.

Bagaimana pun katanya, tidak mustahil manfaat dan hasil penerokaan itu tidak dapat dinikmati susulan ancaman serta pencerobohan asing yang semakin berleluasa di perairan negara di Laut China Selatan.

“Laporan media asing telah membongkarkan kewujudan Kepulauan Spratly, sebuah pengkalan tentera China yang berkelengkapan tinggi dengan radar dan pusat kawalan udara, lapangan terbang serta sistem anti-peluru berpandu di perairan Laut China Selatan

“Sekiranya tiada intervensi dan penyelesaian menyeluruh mengenai perkara ini, bukan peluang ini saja yang bakal hilang dari kita, malah Malaysia turut menghadapi risiko terjerumus dalam konflik ketegangan, sebagaimana yang berlaku di negara-negara Asia lainya.

“Kegusaran ini bukanlah benda baharu kerana apa yang diperkatakan hari ini telah pun menjadi kenyataan di Russia dan Ukraine. Anggaran OECD menyatakan kerugian ekonomi dunia ekoran konflik Russia-Ukraine mencecah USD2.8 trilion” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Daud turut menggesa Kerajaan Persekutuan supaya tidak ketinggalan dengan negara-negara jiran lainnya dalam merangka kepentingan strategik Malaysia di Laut China Selatan.

Beliau berkata, Sidang Kemuncak G20 pada November 2022 di Bali menyaksikan kuasa-kuasa besar dunia merencanakan pelan masing-masing dan tidak ketinggalan negara China dan Indonesia.

Menurutnya, kedua-dua negara telah bersetuju memeterai usaha koordinasi strategik di Laut China Selatan bagi memastikan kepentingan keduanya terpelihara malah Indonesia turut mengumumkan pembangunan hab maritim antarabangsa di Laut China Selatan.

“Ini menguatkan lagi tuntutan Indonesia bagi kawasan perairan negara sejajar aspirasi Visi Indonesia 2045 bagi mengetengahkan negara itu sebagai kuasa besar Asia seiring dengan perpindahan pusat pentadbiran kerajaannya dari Jakarta ke Kalimantan.

“Dikhuatiri, sekiranya tidak diperhalusi dan dicerakinkan dengan teliti, agenda ini akan mengakibatkan Malaysia bukan sahaja tidak terlibat di dalam sebarang perbincangan berkaitan malah akan ketinggalan berbanding negara-negara jiran dari segi ekonomi,” katanya.

Dr Daud berkata, perebutan hak milik bagi perairan Laut China Selatan kini semakin tegang dan padat dengan tidak kurang dari tujuh negara, termasuk Malaysia kini menuntut hak milik ke atas perairan itu.

Katanya, ia termasuk negara Brunei, Indonesia, Filipina, Taiwan, Vietnam malah negara China sendiri dan rata-rata tuntutan itu adalah susulan limpahan ekonomi yang dapat dijana daripada perairan tersebut.

Menurutnya, persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan untuk tahun 2016 saja, 21 peratus dari nilai dagangan dunia berjumlah hampir USD3.37 trillion adalah melalui Laut China Selatan.

“Vietnam dalam usaha menjadi negara pengekspot, telah banyak memanfaatkan situasi Covid di China bagi mengembangkan perniagaan ekspot serta bekalan rantai niaga, dan kawalan kepada Laut China Selatan dapat menyumbang ke arah aspirasi itu.

“Indonesia juga bergantung dengan pelbagai khazanah laut dari Kepulauan Natuna yang sebahagian dari Laut China Selatan dan semua negara ini mempunyai kebergantungan serta kepentingan tersendiri bagi merebut hak milik di Laut China Selatan.

“Manakala, Singapura pula di dalam usaha menjamin kelangsungan Selat Singapura, harus memastikan Laut China Selatan kekal bebas dari sebarang ancaman keselamatan,” tegasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan Potong Berakhir Tragedi: Isteri Pemandu Maut di Lokasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular