UMS bincang rancangan strategik perkukuh kerjasama bersama Universiti di Jepun

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) berpotensi untuk menjalinkan pelbagai peluang kerjasama bersama universiti-universiti di Jepun melalui perancangan strategik yang dibincangkan antara UMS dan pihak Jepun.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Hj. Mansor berkata, kunjungan hormat delegasi Jepun ke UMS yang diketuai Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko telah membuka ruang untuk perbincangan ke arah kerjasama tersebut.

“Dalam kunjungan hormat ini beberapa rancangan strategik telah dibincangkan bagi memperkukuhkan lagi hubungan negara Jepun dan negeri Sabah khasnya menerusi perspektif pengajian tinggi.

“Ini sesuai dengan keberadaan UMS sebagai satu-satunya universiti awam yang bertapak di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat yang turut dihadiri Konsular, Pejabat Konsul Jepun di Sabah, Shiho Kako di Pejabat Naib Canselor, pagi tadi.

Menurut Kasim, kedua-dua pihak turut melihat wujud potensi baik yang boleh dimainkan atau diteruskan oleh pihak Kedutaan sendiri mahu pun penglibatan universiti-universiti berkaitan di Jepun bersama UMS dalam memperkembangkan lagi hubungan langsung antara Jepun dan Sabah.

“Ini khususnya dalam perkongsian budaya, pertukaran akademik (pengajian tinggi) dan juga penyelidikan yang berorientasikan kajian kawalan penyakit tropika, biodiversiti dan hidupan marin,” kata Kasim yang turut memaklumkan kunjungan hormat tersebut merupakan lawatan dari Duta negara asing yang pertama sejak beliau memegang tugas sebagai Naib Canselor UMS pada awal Oktober 2022.

Sementara itu, Takahashi memberitahu hubungan Jepun dan Malaysia telah pun berlangsung selama 65 tahun.

“Pelbagai hubungan dua hala dilakukan dalam pelbagai bidang yang telah mengeratkan lagi hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara.

“Kemesraan hubungan ini mampu dieratkan lagi menerusi hubungan antara universiti di Jepun dan khasnya UMS di Sabah,” katanya.

Terdahulu, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Profesor Dr. Mohammad Saffree Jeffree yang turut hadir dalam pertemuan tersebut memaklumkan bahawa hubungan sedia ada telah pun dijalin dengan Nagasaki University, Jepun bagi beberapa penyelidikan secara bersama di bawah Borneo Medical and Health Research Centre (BMHRC), FPSK.

“Salah satu daripadanya ialah mengenai kajian berkaitan penyakit perubatan tropika seperti penyakit Malaria Monyet, arbovirus, heat adaptation dan banyak lagi.

“Kedua-dua universiti telah menghasilkan beberapa output aktiviti bersama antaranya penerbitan berimpak tinggi, mobiliti pelajar dan pensyarah, lantikan profesor pelawat, permohonan geran Science and Technology Research Partnership for Sustainable Development (SATREPS), penubuhan kampus satelit di Nagasaki dan UMS, dan penganjuran seminar saintifik,” katanya.

Pengarah Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) UMS, Profesor Madya Ts. Dr. Sitti Raehanah Muhamad Shaleh turut maklumat mengenai sejarah hubungan IPMB dan universiti di Jepun sejak tahun 1999 pada pertemuan tersebut.

Menurut Sitti Raehanah, IPMB aktif menjalankan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan akademik dengan beberapa universiti terkemuka di Jepun sehingga kini.

“Antaranya ialah Kindai University, Hiroshima University, Kagoshima University, Tokyo University of Marine Science and Technology (TUMSAT) dan beberapa industri akuakultur yang berpusat di Tokyo, Osaka, Shikoku dan Okayama.

“Antara bentuk kerjasama adalah pertukaran kepakaran antara dua negara, program latihan industri pelajar tahun akhir ke Jepun, tajaan biasiswa kepada pelajar dan kakitangan UMS, penganjuran persidangan bersama dan penyelidikan bersama antara dua negara,” katanya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *