Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah menumpaskan 12 pusat operasi sindiket penipuan dalam talian atau calling center menerusi Ops Pelican yang dilaksanakan dari Januari hingga 8 Jun lalu, dengan penahanan seramai 341 individu termasuk warga asing.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sabah itu melibatkan empat serbuan di Kota Kinabalu, tiga di Labuan, tiga di Tawau serta masing-masing satu di Sandakan dan Penampang.
Menurutnya, sindiket terbabit menjalankan pelbagai kegiatan jenayah komersial termasuk pelaburan tidak wujud, pinjaman palsu, love scam, penyamaran sebagai penguat kuasa dan perjudian dalam talian.
“Daripada 12 serbuan yang dilaksanakan, seramai 341 individu berusia antara 17 hingga 60 tahun ditahan kerana dipercayai terlibat secara langsung dalam aktiviti sindiket calling center.
“Mereka terdiri daripada 303 warga China, 27 warga Malaysia, sembilan warga Vietnam, seorang warga Taiwan dan seorang warga Laos,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan, pada Rabu.
Jauteh berkata, daripada keseluruhan kes yang disiasat, 11 kes telah dituduh di mahkamah.
Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan menyasarkan mangsa di Malaysia serta beberapa negara lain termasuk Korea Selatan, Taiwan, Amerika Syarikat, Jepun, Brazil, Hong Kong dan Thailand.
Katanya, kebanyakan sindiket menggunakan aplikasi komunikasi seperti WhatsApp, Telegram, KakaoTalk, Line, Band serta pelbagai platform media sosial lain untuk memperdaya mangsa sebelum mengarahkan mereka membuat transaksi kewangan ke akaun yang dikawal sindiket.
“Perkembangan ini menunjukkan terdapat usaha pihak tertentu menjadikan Sabah sebagai pusat operasi sindiket penipuan yang menyasarkan mangsa di peringkat antarabangsa.
“Keadaan ini boleh menjejaskan imej negara dan negeri Sabah. Sebab itu kita mengharapkan orang ramai segera menyalurkan maklumat sekiranya melihat aktiviti mencurigakan, khususnya melibatkan kehadiran warga asing di sesuatu lokasi,” katanya.
Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas pelbagai peralatan serta wang tunai bernilai kira-kira RM1.1 juta.
Menurutnya, pihak polis percaya sindiket terbabit memperoleh keuntungan yang jauh lebih besar melalui transaksi kewangan yang disalurkan ke akaun bank tempatan dan antarabangsa.
Sehubungan itu, JSJK Sabah sedang bekerjasama dengan beberapa agensi berkaitan bagi mengesan aliran wang dan akaun yang digunakan sindiket berkenaan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu serta pakatan jenayah, selain turut melibatkan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 berkaitan kemasukan dan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini.
Jauteh berkata, kebanyakan warga asing yang ditahan memasuki Malaysia menggunakan pas pelancong sebelum menyalahgunakan kemudahan itu untuk terlibat dalam kegiatan penipuan.
Beliau berkata, kerjasama lebih menyeluruh dengan Jabatan Imigresen akan diperkukuhkan bagi memastikan pelawat asing mematuhi syarat visa dan tempoh tinggal yang ditetapkan.
Menurutnya, kebanyakan pusat operasi sindiket itu beroperasi di banglo persendirian, pusat penginapan dan lokasi peranginan dengan tempoh operasi antara dua hingga tiga bulan sebelum diserbu polis.
Beliau turut menegaskan siasatan lanjut akan dijalankan terhadap pemilik premis yang disyaki membenarkan aktiviti berkenaan berlaku di hartanah mereka.
“Kita mahu semua pengusaha premis, sama ada individu atau syarikat, memainkan peranan dan bertanggungjawab memastikan negeri ini tidak dijadikan pusat aktiviti yang boleh mencemarkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.



