SHMPP : KPDN Sabah periksa 111 premis setakat semalam

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 12 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KOTA KINABALU: Sebanyak 111 premis di seluruh negeri telah diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina yang bermula semalam.

Pengarah KPDN Sabah Georgie Abas berkata, SHMMP Tahun Baru Cina itu dilaksanakan selama 15 hari selain turut mengawal harga ayam dan telur di bawah pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam (PHMAT).

“Tiada tindakan kes diambil menerusi pemeriksaan premis yang dijalankan di seluruh Sabah setakat semalam.  Bagi tahun 2022 pula, sebanyak 4,667 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh Sabah bagi lima SHMPP iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Puasa, Pesta Kaamatan, Deepavali dan Krismas.

“Daripada pemeriksaan tersebut sebanyak 19 kes dihasilkan di bawah kesalahan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Penandaan Harga bagi Barangan dan Caj Perkhidmatan) 2020 dengan nilai rampasan sebanyak RM1,130.85 dan nilai kompaun sebanyak RM2,100,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas menghadiri pelancaran SHMMP Tahun Baru Cina 2023 peringkat negeri Sabah di pasar raya Kolombong di sini hari ini.

Pelancaran SHMMP itu disempurnakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk James Ratib.

Georgie berkata, skim ini dikuatkuasakan sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina serta memastikan keberadaan bekalannya di pasaran.

Katanya, pelaksanaan skim ini juga sebahagian dari usaha prihatin kerajaan untuk menstabilkan harga ketika permintaan dijangka meningkat bagi membolehkan rakyat Malaysia berbilang kaum, agama dan budaya menikmati skim ini dalam keadaan ceria dan harmoni.

“Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah Skim ini.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti yang ditetapkan,” katanya.

Antara barangan harga terkawal bagi SHMMP Tahun Baru Cina 2023 adalah meliputi Kobis Bulat Import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing); Ubi Kentang Import (China); Bawang putih (China) ; Ikan bawal putih (berat antara 200gram hingga 400gram seekor); Udang putih (berat antara 41 ekor hingga 60 ekor sekilogram); Babi hidup (Kawalan diperingkat ladang sahaja); Daging babi (perut)  dan Daging babi (daging dan lemak).

Bagi PHMAT pula adalah meliputi barangan seperti Ayam hidup; Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya); Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal); Telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji); Telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji) dan Telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji). – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *