HomeUtamaKePKAS perketat pemantauan, penguatkuasaan aktiviti pelancongan di Semporna

KePKAS perketat pemantauan, penguatkuasaan aktiviti pelancongan di Semporna

Read Time:1 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) akan terus memperkukuhkan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap aktiviti pelancongan di Semporna bagi memastikan sektor itu berkembang secara telus, teratur dan mampan.

Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan semua aktiviti berkaitan pelancongan di daerah berkenaan beroperasi mengikut peraturan ditetapkan serta memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat tempatan.

Beliau berkata, Semporna merupakan antara destinasi pelancongan utama Sabah yang mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan hasil peningkatan ketibaan pelancong domestik dan antarabangsa.

Datuk Jafry Arifin

Beliau berkata, pada tahun 2025, daerah Semporna merekodkan seramai 560,077 ketibaan pelancong, manakala bagi tempoh Januari hingga April 2026 sahaja, sebanyak 157,673 pelancong telah direkodkan mengunjungi daerah tersebut.

“Pertumbuhan industri pelancongan di Semporna sememangnya satu perkembangan positif, namun ia perlu disokong dengan pengurusan yang baik, pemantauan berterusan serta pematuhan terhadap undang-undang.

“Kementerian mengambil serius perkara berkaitan penglibatan industri, pemilikan perniagaan serta memastikan pembangunan pelancongan memberi manfaat kepada komuniti setempat,” katanya.

Jafry berkata, KePKAS akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi mengenal pasti sebarang kelemahan dalam pelaksanaan dasar sedia ada serta mengambil langkah penambahbaikan yang sewajarnya.

Katanya, pemantauan bukan sahaja bertujuan memastikan pematuhan peraturan, malah bagi menjaga reputasi Sabah sebagai destinasi pelancongan yang selamat, berkualiti dan berdaya saing.

“Semua pihak termasuk pengusaha pelancongan, pelabur dan komuniti tempatan mempunyai peranan penting dalam memastikan sektor ini berkembang secara bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri kekal terbuka kepada pelaburan pelancongan yang sah dan berkualiti kerana ia mampu membantu memperkukuhkan industri, meningkatkan peluang pekerjaan serta mewujudkan ruang ekonomi baharu kepada rakyat.

Bagaimanapun, katanya, pertumbuhan pelancongan tidak boleh hanya dilihat daripada aspek jumlah pelawat dan nilai pelaburan, tetapi turut mengambil kira impak kepada masyarakat setempat.

“Matlamat kita adalah memastikan Sabah terus menjadi destinasi pilihan pelancong, namun pada masa sama manfaat daripada pertumbuhan industri ini dapat dinikmati secara adil, inklusif dan mampan oleh rakyat Sabah,” katanya.

Beliau menegaskan KePKAS akan terus memainkan peranan dalam memperkukuhkan tadbir urus sektor pelancongan negeri agar ia terus berkembang sebagai salah satu pemacu utama ekonomi Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan negeri terus sokong peranan USIA dalam pembangunan ummah – Masidi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular