Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
PUTRAJAYA : Sebanyak 21,830 premis di peringkat runcit di seluruh negara telah diperiksa menerusi pelaksanaan Operasi Terjah (Ops Terjah) yang dilaksanakan selama sebulan bermula 16 Disember 2022.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, Ops Terjah yang dilaksanakan itu adalah bagi mengenal pasti masalah dan punca utama berlakunya gangguan ke atas rantaian bekalan dan harga barangan keperluan asas.
Katanya, ini termasuklah ayam, telur ayam, minyak masak, tepung gandum dan gula berikutan peningkatan aduan yang diterima daripada pengguna berhubung isu kekurangan bekalan barang tersebut.
“Pelaksanaan OPS TERJAH secara keseluruhannya mendapati, terdapat isu kekurangan bekalan telur ayam gred A, B dan C di premis runcit di beberapa buah negeri di seluruh negara.
“Namun, bekalan telah diterima semula dalam tempoh yang lebih singkat kurang daripada tiga hari berbanding situasi biasa yang berlaku ketika musim cuti sekolah dan perayaan.
“Bagi isu bekalan ayam pula, tiada premis runcit dilaporkan mengalami gangguan bekalan berbanding 93 premis yang dilaporkan pada dua minggu pertama pelaksanaannya di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Salahuddin berkata, bagi menangani isu kekurangan bekalan minyak masak paket, pihak Kementerian telah mengenalpasti pembekal dan mewujudkan jaringan kerjasama yang berterusan bersama pihak pembungkus minyak masak untuk menyegerakan penghantaran bekalan di premis yang terlibat.
Selain itu katanya, penambahan bekalan minyak masak botol di pasaran juga sedikit sebanyak telah mengurangkan impak kepada pengguna.
“Bagi isu bekalan gula dan tepung gandum juga dilihat tidak kritikal sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Terjah ini. Namun, Kementerian tetap mengambil tindakan dengan membantu peringkat runcit dalam mempercepatkan proses pengedaran bekalan daripada peringkat kilang kepada pemborong.
“Secara keseluruhannya, pelaksanaan Ops Terjah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendapat maklum balas dan sambutan yang baik daripada orang ramai.
“Pendekatan secara holistik dengan jalinan kerjasama dan penambahbaikan yang dilaksanakan bersama-sama kementerian/ jabatan/ agensi yang berkaitan juga merupakan antara faktor isu gangguan bekalan yang dihadapi dapat diatasi dengan segera,” katanya.
Sementara itu, Salahuddin berkata, sepanjang pelaksanaan Ops Terjah, anggota penguat kuasa Kementerian telah ditugaskan di lokasi-lokasi strategik yang menjadi tumpuan pengguna membeli-belah barangan keperluan harian.
Katanya, strategi melalui Ops Samar iaitu keberadaan anggota penguat kuasa KPDN tanpa pakaian seragam juga dilakukan bagi melihat situasi sebenar bekalan dan harga barang.
“Langkah ini membolehkan penguatkuasaan dan pemantauan dilaksanakan dengan lebih berkesan di mana tindakan segera dapat diambil ke atas aduan pengguna dan tindakan penguatkuasaan ke atas peniaga sekiranya berlaku ketidakpatuhan
“Pada masa yang sama, pendekatan pelaksanaan penguatkuasaan secara berhemah masih dipraktikkan dengan cara memberi pendidikan, nasihat dan amaran supaya peniaga mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa dan mengamalkan etika peniagaan yang baik.
“Pendekatan melalui sesi libat urus dengan semua peringkat rantaian bekalan dan pemegang taruh juga diambil bagi membantu melancarkan pengedaran barangan keperluan asas ini,” katanya. – SABAH MEDIA