HomeUtama107 PATI dipindahkan balik ke negara asal

107 PATI dipindahkan balik ke negara asal

Read Time:1 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU: Seramai 107 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang ditahan di Depot Imigresen Tawau dan Sandakan dipindahkan dari Pelabuhan Tawau untuk balik ke negara asal, semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua PATI yang ditahan dipindahkan menggunakan pengangkutan laut ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.Katanya, pemindahan itu turut mendapat kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia.

“Program ini melibatkan pemindahan tahanan warganegara Indonesia daripada Depot Imigresen Tawau dan Sandakan iaitu seramai 107 orang dengan kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia.

“Dari jumlah yang diusir, seramai 96 orang merupakan tahanan lelaki manakala 11 lagi merupakan tahanan perempuan,” katanya dalam kenyataan di di sini semalam.

Sitti Saleha berkata, pengusiran ini melibatkan tahanan dewasa berusia antara 14 hingga 63 tahun.

Katanya, PATI yang ditahan di Depot Imigresen telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara Malaysia.

“Oleh itu, semua warga asing adalah diingatkan untuk memastikan mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan (untuk bekerja di Negeri Sabah, Malaysia) terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini.

“Semua agensi penguatkuasaan di negeri Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.

Sementara itu, Sitti Saleha berkata, operasi pemindahan ini adalah merupakan sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh Negeri Sabah.

“Jabatan ini ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pengusiran ini.

“JIM negeri Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI setelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta telah mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tuan rumah ATE 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular