KOTA KINABALU : Sabah berjaya menghasilkan inovasi pek makanan segera yang pertama di negara ini khusus untuk kegunaan mangsa bencana.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata, pek makanan itu merupakan inovasi yang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah.
Katanya, ia juga merupakan salah satu strategi bagi mendepabi bencana di negeri ini.
“Ini adalah inovasi kementerian saya iaitu pek makanan segera menggunakan teknologi retort, tanpa sebarang bahan pengawet atau pewarna yang dihasilkan oleh JPKA Sabah.
“Pek ini mempunyai tiga menu iaitu kurma daging dan kentang, daging gulai kawah dan daging masak hitam yang masing-masing dilengkapi dengan nasi putih.
“Untuk pek ini sangat mudah, cepat dan berkhasiat hanya buka dan tuang air ke dalamnya dalam masa 12 hingga 15 minit dia akan masak dan sedia untuk dimakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Keluarga Peringkat Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejateraan Rakyat (KPMKR) di sini semalam.
James berkata, pihaknya kini telah bersiap siaga dan akan memperuntukan sehingga 300 pek di setiap daerah yang berpotensi dilanda bencana.
Katanya, ini merupakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pertama bagi kementerian dan ia menunjukkan bahawa pihaknya telah bersiap siaga menghadapi bencana.
“Apabila berlaku bencana, pek makanan inilah yang akan kita edarkan di pusat-pusat pemindahan sementara kepada para mangsa serta semua petugas, sebelum makanan sampai kerana ia mudah, cepat dan berkhasiat.
“Setakat ini, kita memperuntukkan 200 hingga 300 pek makanan ke setiap daerah yang dilanda bencana seperti banjir, tanah runtuh, kebakaran dan sebagainya,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, James yang dilantik ke jawatan terbabit sejak 11 Januari lalu, berharap warga kementeriannya dapat memberikan kerjasama dan meneruskan momentum kecemerlangan khususnya program di bawah Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Saya dimaklumkan bahawa pencapaian program-program berimpak tinggi SMJ iaitu Program Homeward, Pusat Perkembangan Kanak-kanak (PPKK) dan JHEWAnita setakat Disember 2022 adalah melebihi jumlah sasaran yang ditetapkan.
“Saya dimaklumkan juga bahawa semua inisiatif SMJ di bawah kementerian ini telah dilaksanakan sepenuhnya bagi tahun 2022 dan sebahagian besarnya melebihi sasaran yang ditetapkan,” tambah beliau.