HomeUtamaSemua pihak diseru berganding bahu tangani isu kenaikan kos sara hidup -...

Semua pihak diseru berganding bahu tangani isu kenaikan kos sara hidup – David Chan

Read Time:1 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU: Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah menyeru semua pihak saling berganding bahu dalam membantu menangani isu kenaikan kos sara hidup yang membebankan kehidupan seharian rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Presidennya, David Chan berkata, sehubungan dengan perkara itu, beliau meminta pengilang, pembekal, pengedar dan peniaga agar tidak terlalu mementingkan keuntungan dengan menaikkan harga secara melampau sehingga membebankan pengguna.

Manakala pengguna pula, katanya, perlu berjimat cermat dan memahami bahawa kenaikan kos kehidupan bersifat global dan amat sukar dielakkan.

“Rakyat mesti bersedia menghadapi masalah kenaikan kos dan perlu bijak dalam menguruskan pendapatan dan perbelanjaan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Persatuan Pengguna turut berharap kedatangan Tahun Baharu Cina tahun ini bakal membawa lebih kemajuan dan keharmonian kepada seluruh lapisan rakyat.

David berkata, selepas melalui pelbagai dugaan dan cabaran seharusnya sambutan perayaan pada kali ini lebih meriah dan bermakna.

“Kita sebagai sebuah persatuan pengguna mengharapkan agar tahun ini akan membawa lebih banyak keharmonian, kemajuan ekonomi dan kemakmuran kepada rakyat serta negeri Sabah.

“Kita bersyukur kerana masyarakat Tionghua dapat menyambut dan meraikan Tahun Baharu Cina pada kali ini dalam suasana yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Jelas beliau, berdasarkan Zodiak Cina, 2023 menandakan Tahun Arnab iaitu haiwan yang dikaitkan dengan keamanan, kemakmuran dan umur panjang.

Malah kata David, dalam budaya kaum Cina, zodiak arnab yang disambut tahun ini juga adalah simbol harapan, tuah dan kemakmuran.

“Saya percaya perkara buruk yang berlaku akan berakhir selepas negara kita pulih daripada penularan pandemik Covid-19 dan sudah tiba masanya membina semula ekonomi negeri kita.

“Kita perlu membina semula banyak perkara yang merencatkan kemajuan ekonomi, malah struktur sosial melibatkan pendidikan dan kesihatan rakyat,” katanya.

Menurut David lagi, perayaan bukan sahaja disambut dengan penuh rasa kesyukuran tetapi menjadi hari penting untuk diraikan bersama rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.

“Kita perlu terus mengeratkan perpaduan dan kesatuan antara rakyat seperti mana kita bersatu mengekang wabak Covid-19 yang akan terus menjadi pengalaman pahit kepada semua,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Saya serahkan kepada pihak berwajib – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular