Banjir: Angka mangsa terus meningkat, 25 PPS dibuka di lima daerah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 4 Second

KOTA KINABALU : Sebanyak 25 buah pusat penempatan sementara (PPS) dibuka di negeri ini bagi menempatkan mangsa banjir yang telah melebihi paras angka lebih 6,000 orang apabila seramai 6,309 mangsa dipindahkan melibatkan lima buah daerah setakat jam 4 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan jumlah mangsa yang dipindahkan adalah melibatkan sebanyak 2,186 ketua isi rumah (KIR).

“Sehingga jam 4 pagi tadi, Lahad Datu menjadi daerah terbaharu terlibat dengan kejadian banjir apabila seramai 18 mangsa melibatkan tiga KIR dipindahkan ke sebuah PPS iaitu di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Terusan.

“Selain itu beberapa daerah lain seperti Paitan; Pitas; Kota Marudu dan Kudat turut mencatat peningkatan menjadikan jumlah kumulatif mangsa yang dipindahkan seramai 6,309 mangsa melibatkan 2,186 KIR,” menurut kenyataan itu di sini pagi ini.

Menurut kenyataan itu, Kota Marudu menjadi daerah tertinggi merekodkan jumlah mangsa banjir iaitu seramai 4,784 mangsa melibatkan 1,731 KIR.

Kudat menjadi kedua tertinggi iaitu seramai 764 mangsa diikuti Pitas (406); Paitan (208) dan Lahad Datu (18 mangsa).

Jumlah PPS yang di buka pula adalah sebanyak 11 di Kota Marudu; enam di Paitan; empat di Pitas; tiga di Kudat dan satu di Lahad Datu.

Trend situasi semasa banjir di negeri ini terus mencatat peningkatan dengan pertambahan jumlah mangsa di PPS. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *