KOTA KINABALU : Seramai 20 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pababag di Semporna terjatuh ke dalam laut selepas jeti di Pulau berkenaan roboh pagi tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Abidin Marjan berkata, selain itu, lima orang murid Tabika KEMAS serta beberapa orang ibu bapa yang menghantar murid ke sekolah berkenaan turut terjatuh ke laut.
“Saya difahamkan kejadian yang berlaku jam 6.45 pagi itu berlaku secara tiba-tiba dimana jeti berkenaan roboh ketika murid sedang menaiki jeti.
“Jeti ini adalah jeti kampung yang menjadi jeti utama untuk sampai ke sekolah berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abidin berkata, selain murid yang terlibat, dua orang lagi guru iaitu Penolong Kanan (PK) 1 dan PK Hal Ehwal Murid (HEM) yang terjun membantu menyelamat mangsa terlibat.
Katanya, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan turut terlibat dengan kejadian berkenaan.
“Berikutan insiden itu, dua orang murid yang terlibat telah mengalami kecederaan ringan selain luka pada bibir dan tangan akibat terkena kayu dan simen jeti yang jatuh.
“Tindakan pihak sekolah telah membuat pemeriksaan keadaan guru dan murid terlibat dimana mereka yang mengalami basah selepas terjatuh ke laut telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya.
Katanya lagi, dua murid yang mengalami cedera ringan setelah dinilai tahap kecederaan juga telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
“Pihak sekolah mendapati, dua murid yang cedera itu hanya mengalami cedera ringan dan dibenarkan pulang ke rumah untuk ditenangkan oleh ibu bapa.
“Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan berat yang dilaporkan setakat ini. Manakala bagi murid yang diberi sijil sakit selepas menerima rawatan di klinik atau hospital adalah dibenarkan untuk berehat,”‘ katanya. – SABAH MEDIA