HomeIsu tempatanUMS terima kunjungan timbalan menteri pendidikan tinggi

UMS terima kunjungan timbalan menteri pendidikan tinggi

Read Time:1 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menerima kunjungan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Mohammad Yusof Apdal, di sini.

Kunjungan beliau disambut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor di Bangunan Canselori UMS bersama Pegawai-pegawai Utama dan pengurusan Universiti.

Pada kunjungan tersebut Yusof menerima taklimat perkembangan semasa serta pencapaian-pencapaian terkini UMS yang disampaikan oleh Kasim.

Menurut Kasim, UMS akan terus meningkatkan kapasiti dan kredibiliti universiti selari dengan 11 agenda yang digariskan dalam Perutusan Tahun Baru 2023 oleh Menteri KPT, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini.

“Sejak penubuhan UMS 28 tahun yang lalu, pembangunan universiti adalah berinspirasikan kepada usaha menjadikan universiti sebagai pusat yang melahirkan graduan terbilang.

“Selain itu, UMS sebagai sebuah universiti komprehensif sentiasa menggalakkan para pensyarah untuk melakukan penyelidikan-penyelidikan yang bukan hanya memberi impak kepada kedudukan universiti tetapi juga kepada kemashlahatan masyarakat,” katanya.

Untuk itu, katanya UMS pada tahun ini memperkenalkan slogan ‘Leading Towards Innovative Societies’ yakni bagi melipatgandakan lagi komitmen universiti sebagai peneraju ke arah melahirkan masyarakat yang berinovatif sekali gus turut menjayakan aspirasi  nasional sebagaimana yang dihasratkan oleh Perdana Menteri menerusi slogan Malaysia Madani

“Pelbagai program bersama masyarakat akan dilaksanakan dengan memfokus kepada proses pemindahan ilmu kepada komuniti setempat merangkumi empat sektor utama khususnya di Sabah iaitu pertanian, perindustrian, pelancongan dan perkhidmatan.

“Bagi menjayakan matlamat ini, UMS akan memperluaskan jaringan kerjasama dengan pemegang taruh, mewujudkan lebih banyak “Living Laboratory” dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan industri,” katanya.

Dalam pada itu,  Yusof yang diberi kepercayaan selaku Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata kementeriannya akan memastikan pendidikan tinggi negara menjadi salah satu tunjang utama kepada kemajuan negara.

“Menjadi hasrat Kementerian untuk mendekati semua institusi pendidikan tinggi (IPT) menerusi lawatan kerja seperti ini bagi memastikan pendekatan yang digagaskan di pihak Kementerian dapat direncana dan dilaksanakan bersama dengan pihak IPT.

“Di samping itu, kita juga ingin melihat dan mendengar sendiri inisiatif-inisiatif IPT yang boleh dikongsikan dgn semua IPT,” ujar beliau.

Hadir sama menyambut ketibaan Yusof ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Rasid Mail; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Dr Raman Noordin; serta Pegawai-pegawai Utama dan Kanan UMS. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS usaha sebar luas pengetahuan berkaitan HIV AIDS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular