HomeUtamaMarkas Kem Lok Kawi bina Pilot Project Boring Water, Inisiatif tambahbaik penyaluran...

Markas Kem Lok Kawi bina Pilot Project Boring Water, Inisiatif tambahbaik penyaluran air bersih

Read Time:2 Minute, 18 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div), Kem Lok Kawi telah membina Pilot Project Boring Water sebagai inisiatif dalam usaha menambahbaik perkhidmatan penyaluran air bersih kepada warga 5 Divisyen.

Ini adalah susulan markas berkenaan menghadapi masalah air yang serius sejak beberapa bulan yang lalu.

Kaedah ‘Boring Water’ merupakan air bawah tanah yang telah diakses dengan menggerudi lubang ke dalam akuifer bawah tanah (simpanan air) dan mengepam ke permukaan.

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan berkata, Pilot Projek Boring Water adalah inisiatif markas kerana memandangkan keperluan bekalan air sangat penting untuk kehidupan seharian warganya.

“Masalah air, bukan masalah dalaman, ia adalah masalah di luar, di kawasan Kota Kinabalu sendiri bekalan air ini berkurangan jadi kita tidaklah menunggu sampai bila masalah ini akan pulih ataupun masalah ini dapat ditangani oleh pihak Kerajaan Negeri Sabah.

“Maka atas inisiatif sendiri yang dilakukan oleh Panglima 5 Divisyen dan juga warga 5 Divisyen, mereka telah membina tube well atau telaga tiub menggunakan kaedah Boring Water, jadi apa yang paling baiknya, kita dapat selesaikan masalah sendiri,” katanya pada sidang media selepas melaksanakan Tinjauan Kerja ke Markas Pemerintahan Armada Timur, Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu, Teluk Sepanggar dan Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div), Kem Lok Kawi, di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, pihak berwajib akan menjalankan penelitian terperinci terhadap kualiti air daripada telaga tiub tersebut sebelum ia digunakan oleh warga markas.

“Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah kita meneliti kualiti air tersebut, kandungan mineralnya supaya tidak ada kandungan merkuri dan juga kandungan magnesium yang boleh memudaratkan kesihatan pengguna,” jelasnya.

Sementara itu, ini merupakan tinjauan ulung Menteri Pertahanan ke Sabah bagi meninjau fasiliti dan kemudahan Kem-Kem Tentera di Pantai Barat Sabah seterusnya meninjau keadaan pengoperasian dan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta warga kerja Kementerian Pertahanan.

Mohamad berkata, kementeriannya dan pihak Markas Tentera Darat sentiasa memantau dan juga melihat isu-isu terutamanya berkenaan dengan hal ehwal warga supaya mereka hidup dalam keadaan selesa, rumah dan tempat kerja yg selesa dan yang lain-lain.

“Justeru, kalau semua ini ada maka kualiti perkhidmatan akan meningkat. Kita tak mahu keadaan warga kita resah gelisah keadaan rumah tak baik dan lain-lain.

“Jadi ini merupakan satu usaha yang kami pertingkatkan walaupun memang sentiasa kita buat, tetapi akan pertingkatkan dalam kita punya rolling plan yang akan datang dalam Rancangan Malaysia ke -12, insyaAllah,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad turut memaklumkan kepada media bahawa Kementerian Pertahanan akan menghantar 31 pegawai, dan 75 anggota lain-lain pangkat termasuk pasukan doktor dan paramedik Angkatan Tentera (ATM) ke Turkiye untuk membentuk hospital medan yang akan bertolak pada pukul 2 pagi esok.

Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain, Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Abdul Rahman A Wahab dan warga 5 Divisyen.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tuan rumah ATE 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular