HomeUtamaProjek naik taraf Loji Rawatan Air Kogopon Papar kini dalam penilaian terakhir...

Projek naik taraf Loji Rawatan Air Kogopon Papar kini dalam penilaian terakhir tender – Armizan

Read Time:2 Minute, 58 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PAPAR: Projek Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air Kogopon dari 40 juta liter sehari (JLH) kepada 80 JLH kini dalam penilaian terakhir tender, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia(Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.

“Alhamdulillah berdasarkan taklimat hari ini, kita difahamkan projek ini dalam peringkat akhir penilaian tender dan dalam masa yang terdekat ini ia akan dibawa ke lembaga tender di peringkat Kementerian Kewangan Negeri Sabah,” kata Armizan pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Loji Rawatan Air Kogopon, Papar kira-kira 25 kilometer dari Kota Kinabalu, hari ini.

Menurut Armizan, projek tersebut merupakan satu projek peruntukannya adalah melalui pinjaman persekutuan dan beliau berharap agar projek ini bukan hanya dapat diputuskan tendernya dalam masa terdekat tetapi juga boleh bermula pada tahun ini juga.

“Jadi saya berharap paling lewat suku tahun ini projek ini akan dapat dimulakan pada tahun ini kerana projek Loji Rawatan Air Kogopon fasa 2 ini dari 40 JLH kepada 80 JLH.

“InsyaAllah kalau siap pada tahun 2026, ia akan dapat menangani masalah air di kawasan Papar khususnya di kawasan Kinarut yang berhadapan dengan masalah gangguan air yang agak serius,” katanya.

Dalam lawatan itu, beliau turut memaklumkan kepada Pegawai Daerah Papar agar projek tersebut dimasukkan sebagai salah satu agenda Majlis Tindakan Daerah.

“Saya mahu progres projek ini dimasukkan sebagai salah satu agenda dalam Majlis Tindakan Daerah supaya kita dapat memantau, bukan sahaja di peringkat sekarang tetapi setelah kontraktor dilantik dan seterusnya kita mahu 2026 biarlah projek itu benar-benar siap dan isu air dapat ditangani,” tegasnya.

Menurutnya, secara keseluruhan Armizan merujuk kepada projek ini sebenarnya telah diluluskan pinjaman persekutuannya pada tahun 2011.

“Secara dasarnya projek ini telah diluluskan peruntukannya pada 2011 namun pra pelaksanaan itu berlangsung begitu lama lebih daripada 10 tahun dan hanya pada tahun lepas 2022 peringkat akhir diselesaikan.

“Oleh kerana pra pelaksanaannya cukup lama, yang saya fikir perlu diatasi kerana yang pertamanya melibatkan kepentingan rakyat, isu rakyat, bayangkan kalau sampai 10 tahun untuk tender diserahkan, rakyat terpaksa berhadapan masalah yang kecil menjadi lebih besar,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau turut menjelaskan dari segi nilai projek tersebut pada 10 tahun yang lepas semasa diluluskan jika dibandingkan dengan hari ini pastinya ia akan meningkat sebagaimana projek ini kelulusan awalnya adalah RM312 juta.

“Namun kerana pelaksanaannya agak lama yang belum kita lihat apa sebenarnya, kita tidak menyalahkan mana-mana pihak sebelum kita kaji dalam tempoh tersebut nilainya terpaksa ditingkatkan pada kadar 25 peratus lagi, jadi perlu tambahan RM67 juta untuk pelaksanaan, jadi ini dua isu berlaku bila pelaksanaannya cukup lama,” ujarnya.

Tambahnya, isu rakyat akan menjadi lebih besar dan nilai projek yang ditanggung juga akan lebih besar.

“Jadi saya fikir benda ini ada penyelarasan sama ada di peringkat negeri dan juga peringkat persekutuan kerana ini melibatkan peruntukan daripada persekutuan untuk kita atasi, adakah birokrasi ataupun adakah halangan-halangan yang menyebabkan boleh berlakunya kelewatan dari segi pra pelaksanaan projek, dari segi pelaksanaan pula kita khuatir ada masalah oleh kontraktor dan sebagainya,” katanya.

Armizan turut menyatakan keyakinannya terhadap kepakaran dalam bidang kejuruteraan yang ada pada Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya.

“Saya harap di peringkat negeri mahupun persekutuan saya yakin dengan Datuk Ir Shahelmey yang mempunyai kepakaran dalam kejuruteraan, beliau dapat memasuki bahawa Sabah mempunyai persiapan yang cukup untuk menggerakkan projek-projek peruntukan persekutuan.

“Ini adalah kerana YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menyebut dalam lawatan di Sarawak bahawa beliau ingin melihat sekiranya pelaksanaan untuk projek RM50 juta maximum ini berjalan dengan baik, beliau tidak ada masalah untuk meningkatkan hak tersebut diberi kuasa kepada agensi di peringkat negeri,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki hilang, disyaki dibaham buaya selepas bot karam di Sg Kg...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular