RANAU: Badan Penyelaras Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Ranau menyerahkan sumbangan satu set gong dan sembilan set pakaian tradisi Dusun Liwan kepada Cawangan KDCA Kampung Mininsalu pada satu majlis yang diadakan di balai raya kampung tersebut hari ini.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Badan Penyelaras KDCA Ranau/Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam kepada Pengerusi Cawangan KDCA Kampung Mininsalu, Philip Lakadsi.
Dr. Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang berharap sumbangan tersebut dapat menyokong usaha untuk mengembangkan lagi kebudayaan etnik Dusun Liwan dan diturunkan kepada generasi muda agar mereka dapat membina jati diri dan meneruskan kelangsungan adat dan tradisi Dusun Liwan.
“Inilah masanya untuk memperkenalkan produk-produk tradisi etnik Dusun Liwan seperti pakaian, makanan, kraftangan, hasil tani dan sebagainya,” katanya.
Beliau turut menjelaskan misi KDCA adalah menjalinkan perpaduan yang harmoni dalam kepelbagaian sebagai asas penyatuan dan tempat menjalinkan kerjasama, penglibatan dan penyertaan multi-etnik Kadazandusun di dalam usaha kendiri bagi pengekalan dan pengembangan warisan kebudayaan sebagai asas pembangunan sosio-budaya, ekonomi dan politik yang berkekalan.
Aktiviti menderma darah turut dianjurkan oleh KDCA Kg. Mininsalu, Belia Kg. Mininsalu dan Tabung Darah Hospital Ranau sempena majlis penyerahan tersebut.
Mengucapkan syabas kepada semua kerana berjaya menganjurkan program ini dan tidak lupa kepada para penderma darah yang begitu prihatin dan bermurah hati menderma bagi membantu mereka yang memerlukan, Dr. Joachim berkata, menderma darah seharusnya menjadi tanggungjawab setiap anggota masyarakat.
“Tanpa sokongan dari orang ramai adalah mustahil pihak tabung darah di seluruh negara dapat menyediakan darah yang secukupnya bagi menampung keperluan yang semakin meningkat setiap tahun,” ujarnya.