HomeUtamaSkim kutu babit kerugian RM 4.4j, 8 ahli sindiket termasuk dalang ditahan...

Skim kutu babit kerugian RM 4.4j, 8 ahli sindiket termasuk dalang ditahan – PDRM  

Read Time:2 Minute, 4 Second

KUALA LUMPUR — Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lapan individu termasuk dalang utama sindiket penipuan skim simpanan ‘Sapiza Saving Extra’ (SSE) dalam serbuan berasingan di empat negeri sejak 27 Januari lalu.

Setiausaha Polis Malaysia PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata tangkapan dibuat dalam serbuan di sini, Terengganu, Perak dan Negeri Sembilan, hasil siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

Katanya, lapan individu yang ditahan berusia 31 hingga 37 tahun, membabitkan dua lelaki dan enam wanita.

“Polis turut merampas sebuah kenderaan mewah serta sejumlah kad ATM, telefon bimbit pelbagai jenama dan dokumen, dipercayai digunakan dalam aktiviti penipuan ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA 2001),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorsiah berkata, sindiket itu dikesan aktif menjalankan kegiatan penipuan SSE di seluruh negara dan sehingga kini, sebanyak 16 laporan polis diterima berhubung kes berkenaan dengan nilai kerugian RM4.4 juta.

“Siasatan awal mendapati skim ini mula aktif sejak 2015 dengan menawarkan skim simpanan berasaskan ‘permainan kutu’ dan bermula 2021, skim ini mula menawarkan beberapa pelan simpanan baharu.

“Simpanan baharu itu bermula dengan pelan serendah RM250 dan mencecah hingga RM20,000 merangkumi tempoh simpanan antara dua hingga lima bulan.

“Sebagai tambahan, skim baharu yang ditawarkan turut menjanjikan keuntungan sebanyak 15 peratus hingga 40 peratus daripada jumlah wang yang disimpan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya sejak Oktober 2022, pengendali skim simpanan itu didapati mula gagal melunaskan pembayaran keuntungan kepada peserta.

“Dalam usaha membanteras kegiatan penipuan seperti ini, PDRM mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan atau simpanan yang menjanjikan pulangan terlalu lumayan.

“Dapatkan maklumat lanjut daripada sumber rasmi seperti Semak Mule, senarai amaran Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebelum membuat keputusan menyertai skim yang meragukan,” katanya.

Kelmarin, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dalam satu sidang media, mendedahkan lebih 1,000 mangsa seluruh negara mengalami kerugian mencecah RM50 juta akibat terpedaya menyertai skim simpanan SSE.

Sindiket yang mendalangi kegiatan itu didakwa menampilkan iklan menarik di pelbagai platform media sosial dengan menjanjikan pulangan lumayan antara 10 hingga 60 peratus daripada wang yang dilaburkan.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, 60 mangsa daripada pelbagai latar belakang, termasuk ustaz, penjawat awam, swasta dan anggota polis tampil membuat aduan kepada MHO dan daripada jumlah itu, 30 mangsa sudah membuat laporan polis.

Katanya lagi, mangsa terpedaya dengan skim itu kerana menawarkan pembayaran pada kadar yang tidak pernah dijanjikan oleh mana-mana institusi kewangan serta pelaburan yang sah.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : SDB agresif dalam usaha struktur, pulihkan hutang lapuk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya