HomeUtamaAgong dukung usaha Kerajaan laksana MA63

Agong dukung usaha Kerajaan laksana MA63

Read Time:2 Minute, 17 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendukung usaha Kerajaan untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Seri Paduka bertitah, Kerajaan telah mengambil tindakan segera dalam menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Kerajaan Sabah dan Sarawak mengenai pelaksanaan MA63.

“Pemindahan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Kerajaan Sabah, mengiktiraf Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik, menambah baik tahap pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak, adalah antara yang telah diputus dan dipersetujui oleh Kerajaan Beta.

“Pada masa yang sama, usaha untuk membangun dan memperkasa ekonomi di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak akan terus digiatkan,” titah baginda semasa menyampaikan titah diraja pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Al-Sultan Abdullah berkata, bagi memperkasa pentadbiran undang-undang, pembangunan Kompleks Mahkamah di Sabah dan Sarawak juga wajar diberikan perhatian.

Titahnya, infrastruktur berkualiti dan perhubungan akses luar bandar akan ditingkatkan menerusi pembinaan jalan luar bandar, jambatan, utiliti bekalan air bersih, bekalan elektrik dan kediaman yang lebih baik.

“Jurang pembangunan ekonomi semua kaum dan etnik termasuk Orang Asli akan terus ditangani bagi melahirkan masyarakat desa yang berdaya tahan dan berdaya saing.

“Tidak ketinggalan juga, dasar perlindungan sosial akan disusun semula bagi memastikan jaminan keselamatan dan perlindungan sosial yang lebih komprehensif dan bersepadu kepada rakyat Beta.

“Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) akan dimantapkan peranannya bagi memberi dimensi baharu kepada lanskap perlindungan sosial di Malaysia berdasarkan piawaian antarabangsa,” titahnya.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah berkata, aspek kesalinghubungan digital adalah merupakan antara asas terpenting pembangunan sesebuah masyarakat dengan ekosistem digital.

Titahnya, ke arah ini, Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) telah dibangunkan untuk mempercepat pembangunan infrastruktur digital negara agar rakyat dapat menikmati peluang yang bakal diwujudkan oleh teknologi digital dan seterusnya menyokong agenda pembangunan ekonomi digital negara.

“Pada tahun 2021, ekonomi digital telah menyumbang sebanyak 23.2 peratus kepada KDNK dan e-Dagang merupakan sektor yang paling pesat berkembang.

“Bagi merealisasikan agenda pendidikan digital negara dan menjamin akses kepada pendidikan, dasar pendidikan digital yang merangkumi penyediaan infrastruktur dan keupayaan digital sedang dirangka.

“Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 juga sedang dikemas kini bagi menjamin keselamatan data peribadi agar ianya seiring dengan perkembangan teknologi serta perubahan perundangan privasi global.

“Pelbagai program turut diadakan untuk meningkatkan kesedaran rakyat dan pengguna data termasuk aktiviti pemeriksaan dan penguatkuasaan akta tersebut,” titahnya.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut bertitah tumpuan hendaklah terus diberikan terhadap penyediaan infrastruktur dan kemudahan awam melalui kemampanan sektor pembinaan.

“Dasar Pembinaan Negara (NCP 2030) akan memberi fokus kepada pendigitalan serta kemampanan sektor pembinaan dan mengangkat penyenggaraan infrastruktur sebagai salah satu segmen industri pembinaan yang akan dibangunkan bagi memastikan pengurusan aset dan kemudahan yang lebih berkesan,” titahnya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah dijangka alami hujan berterusan mulai Sabtu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular